INDONESIA berjaya meletakkan peta negaranya dalam sukan permotoran dunia apabila sukses menganjurkan perlumbaan Formula E buat pertama kali sejak siri perlumbaan itu diperkenalkan pada 2014.

Perlumbaan Jakarta E-Prix yang diadakan di Litar Jalan Raya Ancol, Jakarta Utara itu dihadiri puluhan ribu penonton yang nyata teruja dengan kehadiran siri ini di Indonesia.

Turut hadir pada perlumbaan itu adalah Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo yang nyata gembira dengan kejayaan ini dan menyatakan Formula E ini adalah perlumbaan untuk masa depan.

Selain itu, penganjuran perlumbaan kereta elektrik ini adalah sebagai tanda komitmen Indonesia untuk membangun teknologi bersih berasaskan elektrik seperti bateri lithium dan kereta elektrik pada masa depan.

“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan baik. Saya kira ini adalah acara masa hadapan yang akan lebih digemari kerana akan ada peralihan dari kereta konvensional kepada kereta elektrik pada masa akan datang.

“Ini juga bagus buat Indonesia kerana kita akan membangun ekosistem bateri elektrik bermula dari awal pembangunan hingga terhasilnya kereta elektrik dan perlumbaan ini menunjukkan teknologi yang akan dikuasai oleh negara ini,” jelas Jokowi selepas perlumbaan.

Pada perlumbaan sulung itu, pelumba Jaguar Racing Mitch Evans berjaya mengekang tekanan untuk muncul juara pertama Jakarta E-Prix dihadapan pelumba DS Techeetah, Jean Eric Vergne manakala pelumba Rokit Venturi Racing, Edoardo Mortara ketiga.

Perlumbaan seterusnya akan berlangsung di Marrakesh, Maghribi pada 4 Julai dengan Stoffel Vandoorne mendahului senarai keseluruhan pemandu dengan 121 mata lima mata di hadapan Jean Eric Vergne.