KEGANASAN terhadap pengadil adalah kanser yang perlu dicegah dan pemimpin bola sepak perlu menunjukkan contoh dan bertindak untuk menghentikannya.

Presiden Fifa, Gianni Infantino dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Fifa, Pierluigi Collina masing-masing senada memberitahu perwakilan Persatuan Ahli Fifa yang menghadiri Sidang Kemuncak Bola Sepak Fifa 2023 di Jeddah, Arab Saudi.

“Ini (insiden) dilaporkan oleh (pihak) media tetapi terdapat banyak insiden yang tidak menarik perhatian media, melibatkan pengadil dalam liga amatur, dalam bola sepak akar umbi.

“Kebanyakan pengadil ini adalah anak-anak muda, lelaki dan perempuan. Kebanyakan pengadil ini menghadapi serangan lisan atau fizikal.

“Mereka didera secara lisan dan fizikal. Dan mereka yang mendera mereka, kebanyakan masa, adalah ibu bapa kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan yang bermain perlawanan itu. Ini tidak boleh diterima.

“Cukup-cukuplah. Ini adalah kanser yang boleh membunuh bola sepak. Memang betul. Saya mohon pemimpin bola sepak seluruh dunia lakukan sesuatu sebelum terlambat,” kata Collina.

Dalam insiden terbaru yang menggemparkan dunia bola sepak tahun ini, pengadil Fifa, Halil Umut Meler telah dibawa ke hospital selepas dia diserang pada penghujung perlawanan Turkish Süper Lig antara MKE Ankaragücü dan Çaykur Rizespor pada 11 Disember lepas.

Sementara itu, Infantino berkata, tanpa pengadil, tiadalah bola sepak dan meminta semua pihak berjuang untuk pengadil terhadap sebarang bentuk penderaan dan keganasan.

“Kembalikan rasa hormat dan toleransi. Dan ini bermula dengan kami, ini bermula dengan anda, dengan pemimpin bola sepak, dengan cara kami bercakap, dengan cara kami bertindak.

“Ia adalah tanggungjawab kita, kerana apa yang kita lakukan memberi kesan kepada ramai wanita dan lelaki, bukan sahaja positif tetapi juga negatif,” katanya.