PENYENARAIAN Shello Silverius dalam senarai 20 pemain yang akan menggalas cabaran skuad hoki negara di Piala Dunia Lelaki 2023, di India bulan depan agak mengejutkan, namun keputusan dibuat Ketua Jurulatih Hoki Kebangsaan, A.Arulselvaraj itu, pastinya ada alasan kukuh.
Arul mempertahankan tindakannya menyenarai Shello, biarpun pemain dari Sabah itu baharu kembali daripada kecederaan patah tangan kiri, yang dialaminya pada Piala Negara-Negara, di Afrika Selatan awal bulan ini.
Arul berkata, meskipun pemain berusia 23 tahun itu belum memegang kayu hoki dalam latihan pusat, kebijaksanaan yang ada pada pemain itu amat diperlukan.
“Shello ni.. saya mahukan ‘intelligent’ yang ada dalam dirinya, biarpun baharu memiliki 20 kaps bersama pasukan kebangsaan, tapi kebijaksanaannya dalam membuat keputusan di atas padang, ideanya, pergerakan yang ‘very intelligent’ selain ‘work load” dan memiliki ‘very high speed’, itu yang saya mahukan.
“Kita sudah mengambil kira semua perkara dan pembedahan tangannya dilakukan 7 Disember lalu, mengambil masa tiga minggu untuk pulih. Walapun dia belum memegang kayu hoki, tapi tahap kecergasannya tinggi,” kata Arul dalam sidang media hari ini yang turut dihadiri Pengurus Pasukan Kebangsaan, Dato Mirnawan Nawawi.
Katanya, Shello juga akan menggunakan peralatan khas yang akan dipakai pada tangan kirinya ketika kejohanan itu nanti.
“Kita mesti percayakan keputusan yang sudah dibuat amalah perbincangan dengan Shello sendiri, dia yakin dapat bermain dan apa juga yang berlaku nanti, saya dan Mirnawan akan bertanggungjawab,” kata Arul.
Sementara itu, Mirnawan berkata, pihaknya sudah mendapat pelepasan daripada pasukan perubatan, jadi tiada masalah untuk pemain itu disenaraikan dalam skuad 20 pemain ke Piala Dunia, Januari depan.
Antara pemain yang kembali dari kecederaan dan tersenarai dalam skuad 20 pemain itu adalah kapten Marhan Abdul Jalil dan Faiz Helmi Jali.