Iran berkemungkinan memboikot saingan Piala Dunia 2026 susulan ketegangan memuncak dengan Amerika Syarikat (AS) yang dilaporkan mengorbankan pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan udara terbaru.

Konflik antara Iran, AS dan Israel meningkat dengan dramatik sejak Jumaat lalu apabila beberapa bandar utama termasuk Tehran menjadi sasaran serangan ketenteraan bersama.

Presiden AS, Donald Trump dilaporkan berikrar akan menyerang dengan kekuatan yang belum pernah disaksikan sebelum ini, manakala Iran bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu ke beberapa sasaran di negara jiran termasuk Arab Saudi dan Qatar.

Jet pejuang Britain turut digerakkan bagi melindungi negara sekutu daripada serangan balas Iran, sekali gus menyaksikan sekurang-kurangnya lima negara yang bakal beraksi di pentas Piala Dunia terheret dalam konflik berkenaan.

Krisis itu berlaku hanya tiga bulan sebelum kejohanan edisi kali ini yang dijadual berlangsung di AS, Kanada dan Mexico, dengan Iran antara pasukan yang sudah layak.

Bagaimanapun, Presiden Persekutuan Bolasepak Iran, Mehdi Taj, memberi bayangan negara itu mungkin akan menarik diri.

“Dengan apa yang berlaku hari ini dan serangan oleh Amerika Syarikat, adalah tidak mungkin kita boleh beraksi di Piala Dunia.”

“Tetapi ketua-ketua sukan adalah mereka yang mesti membuat keputusan itu,” katanya menerusi laporan yang dipetik daripada Marca.

Iran sebelum ini diundi dalam kumpulan bersama New Zealand, Belgium dan Mesir, dengan aksi pembukaan dijadual berlangsung pada pagi 16 Jun.

Mereka dijadual beraksi di Los Angeles dan Seattle, malah berpotensi bertemu tuan rumah AS di pusingan 32 terbaik.

Sementara itu, kepimpinan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kekal optimis bahawa ketegangan geopolitik tidak akan menjejaskan penganjuran kejohanan.

Setiausaha Agung FIFA, Mattias Grafstrom berkata pihaknya sedang memantau situasi secara rapat.

“Kami membaca laporan berita seperti semua orang. Kami sudah mengadakan mesyuarat dan masih terlalu awal untuk mengulas secara terperinci,” katanya.

“Sudah tentu fokus kami adalah memastikan Piala Dunia berlangsung dalam keadaan selamat dengan semua pasukan dapat mengambil bahagian.” – AGENSI