PERSEKUTUAN Antarabangsa Sepaktakraw (Istaf) mengadakan bengkel pendidikan anti-doping sebelum majlis pembukaan rasmi Piala Dunia Sepak Takraw 2024.
Bengkel tersebut dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).
Pengendalian bengkel anti-doping ini mendapat sokongan penuh daripada Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) bersama Pegawai Doping Istaf.
Seramai 260 atlet sepak takraw dan pegawai pasukan daripada 21 negara yang bertanding menghadirinya bengkel anti-doping ini.
Ia merupakan perhimpunan pertama dengan sebilangan besar perwakilan sepak takraw dari seluruh dunia yang dikumpulkan bersama dalam bengkel Pendidikan Doping Istaf.
Dalam pada itu, sebanyak 21 negara telah mengesahkan slot untuk menyertai Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini pada 18 hingga 26 Mei ini.
Sebanyak 12 negara akan berentap bagi kategori Premier manakala sembilan pasukan lagi dalam kategori Divisyen 1 akan beraksi di kejohanan berprestij itu.
Kategori Premier termasuk Malaysia, Thailand, Korea Selatan, Myanmar, Vietnam, India, Indonesia, Singapura, Brunei, Jepun, China dan Filipina.
Manakala Divisyen 1 pula dibarisi sembilan negara iaitu Sri Lanka, Arab Saudi, Perancis, Iran, Taiwan, Nepal, Pakistan, Jerman dan Bangladesh.