BEKAS penyerang kebangsaan, Safee Sali menggesa para pemain Harimau Malaya untuk tidak menggunakan padang Stadium Nasional Bukit Jalil jika keadaan padang itu masih lagi tidak memuaskan.

Pendiriannya diluahkan melalui laman Youtube miliknya, Sports Tarik ketika mengulas mengenai aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 antara Malaysia dan Oman.

Menurutnya, antara  faktor yang menyebabkan kekalahan skuad Harimau Malaya baru-baru ini adalah disebabkan permukaan padang yang tidak bersedia.

Ia terbukti apabila sesetengah pemain terpaksa membetulkan sesetengah permukaan padang yang terangkat ketika aksi sedang berlangsung.

Safee Sali membidas apa yang dilakukan oleh Perbadanan Stadium Malaysia sehingga masalah padang masih lagi berlarutan. (Sumber Gambar: Youtube Sports Tarik)

“Mungkin ada sesetengah pihak yang tidak bersetuju dengan apa yang saya cakap ini. Perkara ini berkaitan padang. Kita sudah pun maklum padang memang sangat teruk.”

“Mana boleh main padang macam tu. Padang terangkat dan bila pemain pergi untuk betulkan padang itu, bagi saya itu bukan padang yang sesuai untuk pasukan nasional bermain.”

“Bukan saya nak mempersoalkan tetapi sudah berapa lama tidak selesai-selesai lagi. Pemain kita Azam Azmi, baru bermain 25 minit sudah pun mengalami kecederaan. Perkara ini mesti dibetulkan sekarang juga,” katanya dalam Youtube.

Antara rumput yang terangkat ketika perlawanan bola sepak di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bekas pemain JDT ini juga merasakan bahawa aksi kelayakan tidak sepatutnya diteruskan di SNBJ sekiranya keadaan tidak benar-benar bersedia.

“Kalau padang itu tidak elok, jangan main.

“Orang mungkin akan cakap Oman juga bermain pada padang yang sama tetapi kita tidak mendapat kelebihan beraksi selaku tuan rumah. Sepatutnya pada perlawanan itu Oman yang menghadapi kesukaran.”

“Jangan tutup cerita pasal padang,”katanya.

Sebelum itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac menegaskan bahawa pihaknya akan sentiasa memastikan padang SNBJ sentiasa dalam keadaan berkualiti dan bertaraf antarabangsa.