PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo melahirkan rasa kecewa terhadap pembatalan Indonesia menjadi tuan rumah Piala Dunia B-20 2023. Justeru itu, Jokowi meminta orang ramai tidak menyalahkan satu sama lain.

Indonesia dipastikan dilucut hak menjadi tuan rumah Piala Dunia B-20 2023 pada Rabu.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menganggap Indonesia gagal menangani situasi semasa. Sebelum ini, beberapa pihak di negara itu menolak kedatangan pasukan kebangsaan Israel sebagai peserta Piala Dunia B-20 2023.

Gabenor Bali I Wayan Koster dan Gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo menyatakan penolakan mereka terhadap Israel. Kumpulan fundamentalis Alumni 212 turut mengadakan demonstrasi di Jakarta menentang kehadiran Israel di Indonesia.

Joko Widodo menerima laporan terus daripada Fifa melalui Ketua Umum Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI), Erick Thohir, yang sebelum ini bertemu Presiden Fifa Gianni Infantino di Qatar. Jokowi berkata Indonesia akan mematuhi semua keputusan daripada Fifa.

Presiden Jokowi tidak menyembunyikan kekecewaan dan kesedihannya terhadap pembatalan Piala Dunia B-20 di Indonesia. Padahal mereka sudah bersiap sedia untuk mengadakan kejohanan ini sejak dahulu lagi.

“Malam tadi saya menerima laporan daripada ketua umum PSSI bahawa Fifa telah memutuskan untuk membatalkan Piala Dunia B-20 di Indonesia. Sudah tentu kita harus menghormati keputusan ini.

“Saya tahu keputusan ini telah mengecewakan ramai orang. Saya pun sama, saya rasa begitu, kecewa dan sedih, tetapi jangan buang tenaga untuk menyalahkan satu sama lain,” kata Presiden Jokowi dalam satu kenyataan rasmi pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN : Piala Dunia B-20 : Jokowi gesa jangan campurkan sukan dan politik