DORONGAN ayahnya Rakib Ahmad yang merupakan bekas pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 1998 menjadi pemangkin semangat atlet muay thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff  yang kini bergelar juara remaja dunia.

Menurut Ahmad Nor Iman Aliff, walaupun menceburi sukan yang berbeza, pengaruh ayahnya memainkan peranan dalam kariernya apabila telah dua kali bergelar juara dunia remaja.

Apatah lagi dengan saingan Sukan Dunia di Alabama, Amerika Syarikat, 15 Julai ini, Ahmad Nor Iman Aliff berkata kepada FLASH SUKAN, prestasinya kini pada tahap terbaik bagi memburu mata ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Sebaik memenangi pingat emas Sukan Sea Vietnam, saya menyertai Kejuaraan Dunia di Abu Dhabi dan turut berjaya meraih pingat emas menerusi acara 54 kilogram (kg) kategori bawah 23 tahun.

Nor Iman kini buru mata ke Sukan Olimpik 2024. Foto: Bernama

“Di Amerika Syarikat nanti, hanya lapan peserta terbaik dunia akan mengambil bahagian bagi acara yang saya sertai iaitu 57kg dan sasaran saya sudah tentu pingat emas.

“Jika berjaya dicapai, ia adalah hadiah kepada ayah yang juga mentor dan pengaruh terbesar dalam pembabitan saya dalam sukan muay thai,” katanya yang berpengkalan di Bangkok, Thailand.

Di bawah kendalian jurulatih negara, Bernard Radin, turut membawa cabaran di Amerika Syarikat adalah Muhammad Syahidi Ruslan menerusi acara welterweight atau 67kg.

Untuk rekod, selain pingat emas Sukan Sea dan Kejuaraan Dunia tahun ini, Ahmad Nur Iman Aliff juga merangkul pingat emas acara 51kg kategori bawah 17 tahun pada Kejohanan Dunia di Bangkok, Disember tahun lalu.

Rakib, 47, pula merupakan peninju negara era 90-an dan memenangi pingat gangsa Sukan Komanwel 1998 serta pingat perak Sukan Sea 2001 sebelum bersara dan membuka kedai sukan alat tempur itu di Kelantan.

“Sejak kecil, dia menunjukkan minat serta aktif dalam sukan muay thai. Sebagai bapa saya menyokong pilihannya namun perjalanan masih jauh dan dia perlu kekal fokus untuk kejayaan lebih baik,” jelas Rakib.