PENGALAMAN beraksi pada saingan Piala Thomas lalu, mematangkan perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao ketika melakar kejutan di kejohanan Super 1,000, Terbuka Indonesia, apabila menyingkir pemain nombor 3 dunia, Jonatan Christie di pusingan pertama.

Jun Hao yang tampil sebagai pemain simpanan melakar kejutan ke atas harapan tuan rumah, apabila memenangi perlawanan 21-13, 16-21, 21-12 dalam aksi di Istora Senayan.

Untuk rekod, pertemuan itu adalah yang pertama buat kedua-dua pemain di pentas antarabangsa.

Leong Jun Hao mula mencatat kejutan ke atas pemain dalam kelompok Top 10 dunia.

“Sejak Piala Thomas, saya rasa berjaya mengekalkan tahap konsistensi dan tahap keyakinan juga lebih baik.

“Kemenangan ini saya tidak boleh terlalu selesa kerana mereka yang saya menang sedang dalam persiapan ke Sukan Olimpik dan setiap pemain ada masa naik dan turunnya,” kata Jun Hao kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.

Pada Terbuka Singapura minggu lalu, Jun Hao turut mengejutkan pemain nombor 9 dunia Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting di pusingan kedua.

Kemenangan Jun Hao ke atas Jojo itu membolehkannya mara ke pusingan kedua untuk bertemu salah seorang pemain Chinese Taipei, Chou Tien Chen atau Lin Chun Yi esok.

Dalam pada itu, kejutan yang cuba dilakukan beregu campuran negara, Yap Roy King-Valeree Siow tidak kesampaian apabila tunduk kepada pasangan nombor 5 dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 21-19, 13-21, 18-21.

“Saya rasa kami tak cukup konsisten dalam perlawnaan ini malah kekuatan mental kami juga agak rendah berbanding lawan,” kata Valeree.

Dalam pada itu, Roy King mengakui mereka mempunyai peluang seimbang untuk memenangi perlawanan itu.

“Ya kami ada peluang memenangi perlawanan tetapi tidak menggunakannya sebaik mungkin.

“Ketika berada pada mata-mata genting, kami tidak berkomunikasi dengan baik hingga melakukan banyak kesilapan mudah,” tambah Roy King.