PENYERANG Mesir, Mohamad Salah menegaskan pasukannya bukan pilihan utama untuk menjuarai Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), namun berikrar akan memberikan segala-galanya untuk mara sejauh mungkin pada kejohanan di Maghribi itu.
Penyerang Liverpool itu menjaringkan gol ketiga bagi mengesahkan tempat Mesir ke suku akhir menerusi kemenangan sukar 3-1 selepas masa tambahan ke atas Benin awal pagi tadi.
Pasukan kendalian Hossam Hassan itu memburu kejuaraan pertama sejak 2010 dan gelaran kelapan keseluruhan dalam sejarah AFCON.
“Saya tidak fikir kami pasukan pilihan utama (untuk memenangi kejuaraan),” kata Salah kepada wartawan.
“Kami memiliki pemain muda dan kebanyakan mereka beraksi di Mesir. Kami hanya berjuang untuk negara kami, namun semua memberikan yang terbaik dan anda dapat melihatnya hari ini.”
Pemain berusia 33 tahun itu turut menegaskan tiada perlawanan mudah dalam AFCON.
“Tahap pasukan hampir sama. Saya beritahu pasukan semalam tiada mana-mana pasukan kalah dengan jaringan empat atau lima gol. Benin mempunyai pasukan dan jurulatih yang baik. Saya gembira kami akhirnya menang,” katanya.
Salah kini menjaringkan 10 gol dalam 22 penampilan AFCON, dua gol kurang berbanding penjaring terbanyak Mesir pada kejohanan itu, Hassan El-Shazly dan satu gol di belakang jurulatih semasanya, Hossam Hassan.
Mesir akan menentang juara bertahan Ivory Coast atau Burkina Faso pada suku akhir di Agadir, Sabtu ini. – REUTERS