KETUA Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Benjamin Mora memuji semangat anak-anak buahnya apabila sekali lagi berjaya menumbangkan Ulsan Hyundai sekaligus layak ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Pujian seharusnya diberikan kepada semua pemain yang bermain mati-matian dan berjaya mencipta sejarah muncul kelab pertama Malaysia dan satu-satunya kelab yang berjaya ke peringkat kalah mati.

Mora juga menyatakan pemain-pemainnya bertindak sebagai motivator di dalam padang bagi memastikan setiap pemain beraksi dengan baik dan berdisiplin.

Jurulatih kelahiran Mexico ini juga menyatakan bahawa kemenangan ini adalah yang terbaik bagi dirinya mengatasi segalanya dan beliau berterima kasih kepada semua yang terlibat dengan JDT.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Kami berjaya menyingkirkan bekas juara 2020 selepas dua kali menewaskan mereka. Kami hanyalah kelab yang kecil dari Johor.

“Ianya adalah kerjasama sepasukan yang membawa kepada kemenangan ini. Kami mempunyai segala-galanya dan kami memberikan sepenuhnya dalam setiap perlawanan,” tambah Mora dalam sidang media selepas perlawanan.

“Leandro dan Jambu (Afiq Fazail) berperanan hebat sebagai motivator di dalam padang kepada Hong Wan. Jelas pada awalnya beliau kelihatan gugup tetapi dengan adanya dua pemain hebat ini, ianya dapat membantu beliau yang menjalankan tugas dengan baik.

“Ketika mula-mula sampai ke Johor, inilah yang saya cuba buktikan. Dan saya pasti ianya tidak akan terhenti di sini. Banyak lagi yang saya ingin capai bersama kelab ini.

“Ini adalah perasaan yang sangat hebat. Tiada perkara lain yang mampu dibandingkan. Saya berterima kasih kepada keluarga saya, DYAM Tunku Ismail, para pemain, penyokong dan juga semua yang terlibat dengan kelab yang hebat ini,” ujar Mora.

Kejayaan JDT kali ini dianggap sangat baik apabila berjaya menumbangkan Ulsan Hyundai, juara 2020 dan semifinalis 2021 dua kali selain berjaya mengikat juara Liga J, Kawasaki Frontale dan menang kedua-dua perlawanan bertemu Guangzhou FC.