PENGURUS Arsenal, Mikel Arteta mencabar pasukannya yang dilihat semakin hilang momentum untuk kembali menentukan “nasib sendiri” ketika aksi musuh tetangga London utara menentang Tottenham malam esok, selepas mula hilang kawalan dalam perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Skuad kendaliannya sebelum ini memiliki kelebihan selesa dalam usaha memburu gelaran liga pertama sejak 2004, namun pendahulu liga itu kini membenarkan pasukan tangga kedua Manchester City merapatkan jurang kepada lima mata.

City yang akan menentang Newcastle malam ini, turut beraksi kurang satu perlawanan berbanding Arsenal dan akan menerima kunjungan kelab London itu dalam pertembungan penting pada April depan.

Jika skuad Pep Guardiola memenangi baki 12 perlawanan mereka, City akan menjulang kejuaraan tanpa mengira keputusan Arsenal dalam baki 11 aksi terakhir.

Situasi itu pasti perit buat Arteta yang pernah menyaksikan Arsenal kehilangan kelebihan dalam perebutan gelaran yang dimenangi City pada 2023 dan 2024.

Namun Arteta yakin pemainnya mampu menangani tekanan itu, asalkan mereka menerima cabaran untuk mencipta sejarah.

“Apa yang saya lihat adalah reaksi luar biasa sekali lagi. Apabila anda kehilangan mata pada saat terakhir perlawanan, dalam situasi yang sukar dijangka, memang sukar untuk difahami. Tetapi itulah bola sepak,” katanya kepada wartawan, malam tadi.

“Kehidupan perlu diteruskan, tiada apa yang boleh kami ubah. Apa yang penting adalah apa yang berlaku selepas ini.

“Itu sudah menjadi satu bab. Dalam bab ke-27, kami seri menentang Wolves. Bab seterusnya adalah bagaimana kami menulis nasib sendiri selepas ini.”

Arsenal mensia-siakan kelebihan dalam dua perlawanan terakhir mereka apabila seri 1-1 dengan Brentford dan 2-2 ketika bertandang ke pasukan tercorot Wolves.

Kegagalan menewaskan Wolves selepas mendahului dua gol amat mengecewakan apabila salah faham antara penjaga gol David Raya dan pertahanan tengah Gabriel Magalhaes membuka ruang kepada jaringan penyamaan pada masa kecederaan oleh Tom Edozie.

“Reaksi awal memang sukar. Ia satu kejutan buat kami. Kami mahu menang tetapi tidak berjaya dan kami perlu terus maju ke depan,” kata Arteta.

“Tetapi kami mempunyai arahan yang jelas. Kami perlu hidup pada masa sekarang. Masa sekarang ini indah kerana kami berada tepat di kedudukan yang kami inginkan dalam setiap pertandingan.”

Arsenal hanya menang dua daripada tujuh perlawanan terakhir liga, namun Tottenham yang sedang bergelut berada dalam prestasi lebih buruk apabila gagal meraih kemenangan dalam lapan aksi terakhir mereka dalam liga utama. – AFP