PENYOKONG Malaysia sememangnya terkenal di seluruh dunia dengan sokongan yang fanatik dan mencetuskan gerun kepada pasukan yang bertandang ke stadium.
Tinjauan FLASH SUKAN di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) mendapati budaya menyokong semakin menebal dikalangan rakyat Malaysia dan ianya turut disertai kanak-kanak dan juga Orang Kelainan Upaya (OKU).
Tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang memberikan kemasukan percuma kepada golongan OKU disambut baik dan menambah semangat mereka untuk memberikan sokongan kepada Harimau Malaya.
Azril dan Syamil, dua orang OKU kelainan penglihatan yang sudi ditemubual mengakui tindakan FAM ini sangat dialu-alukan kerana mereka juga mahu turut serta mencipta sejarah bersama-sama pasukan kebangsaan layak ke Piala Asia secara merit selepas 43 tahun.
“Kami sememangnya gembira dengan keputusan FAM membenarkan golongan seperti kami untuk masuk ke stadium secara percuma untuk turut memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan.
“Ia menambahkan semangat buat kami untuk sama-sama menyaksikan sejarah baharu bola sepak tempatan sekiranya Malaysia berjaya membenam Bangladesh malam ini,” kata mereka yang turut ditemani pengiring.
Selain itu, gelagat anak-anak kecil yang turut sama di stadium memeriahkan lagi suasana dengan ibu bapa masing-masing sibuk memakaikan bandana dan mencuba jersi agar mereka dapat menyerap semangat Harimau Malaya.
Haikal Abas yang membawa dua anaknya ke stadium berkata dia mahu anak-anaknya merasai sendiri kemeriahan menyokong di stadium kerana ini yang dia alami ketika kecil.
Dia juga mahu memastikan anak-anaknya disemai semangat hadir ke stadium dan tidak hanya bergantung kepada siaran langsung di televisyen dan berharap skuad kebangsaan mampu layak ke Piala Asia.
“Saya memang mahu bagi mereka merasa nikmat menyokong di stadium. Sejak kecil saya didedahkan dengan perkara yang sama oleh bapa saya oleh itu sekarang giliran saya pula untuk berbuat demikian.
“Memang ada siaran langsung di televisyen tetapi saya mahu semaikan semangat hadir ke stadium kerana tanpa penyokong apalah bola sepak dan saya yakin skuad negara akan layak ke pentas Piala Asia,” katanya ketika ditemui di dalam Transit Aliran Ringan (LRT).
Budaya menyokong ini seharusnya diterapkan pada usia muda dan juga kepada semua golongan yang mampu hadir memberikan sokongan di stadium kerana penyokong adalah tulang belakang pasukan negara.