PENYERANG berbisa Selangor FC Bawah-19 (B-19), Amirul Haziq Kamal Ariffin menyifatkan gol sepakan lencong hasil sepakan percuma yang diperoleh merupakan sesuatu yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Sebelum aksi final, Harry Danish Haizon ada berbincang dengannya untuk masing-masing menjaringkan satu gol untuk pasukan Selangor FC dan ternyata ianya menjadi kenyataan apabila masing-masing mengotakan janji mereka untuk menjaringkan gol buat Gergasi Merah.

Jelasnya, dia telah bersiap sedia dari segi mental untuk mencari gol di tempat lawan bagi menyukarkan pihak lawan untuk kembali bangkit.

Penyerang Bawah-19 (B-19) Selangor FC, Amirul Haziq Kamal Ariffin

“Harry adalah seorang pemain yang baik. Dia ada beritahu saya, kau satu, aku satu tetapi ia adalah rezeki pada malam ini. Alhamdulillah kita dapat jaringkan tendangan percuma tersebut. Semua pemain bagi seratus peratus dan kita adalah juara.

“Memang kita kena cari gol di sini sebab main di Temerloh, memang kena cari gol. Sekiranya kita dapat satu gol, ia akan membuat pihak lawan sukar untuk menewaskan kami untuk aksi timbal balik kedua.

“Mahu tak mahu, saya kena tetapkan dalam pemikiran saya bahawa saya harus menjaringkan gol. Alhamdulillah rezeki Allah bagi, bola masuk dan kita bertahan dengan baik. Semua pasukan beri 100 peratus tenaga.

“Berlari sampai mati, jaga gol, seperti yang dikatakan jurulatih, main mati-matian. Ini perlawanan terakhir final. Alhamdulillah, kita juara. Saya tidak dapat menggambarkan dengan kata-kata,” ujarnya selepas tamat perlawanan Piala Belia 2022 di Temerloh.

Pemain tengah Bawah-19 Sri Pahang FC (B-19), Zulfahmi Zulkifli.

Sementara itu, arkitek tengah Sri Pahang FC, Zulfahmi Zulkifli yang menjaringkan gol dari kawasan tengah padang dengan ledakan kencang menewaskan penjaga gol Gergasi Merah terpaksa akur dengan kegagalan menjulang kejuaraan sulung Piala Belia.

Meskipun jaringan luarbiasa tersebut  terhasil, namun rezeki masih belum memihak kepada Sri Pahang FC apabila badi 2004 berterusan menyaksikan Tok Gajah terus kempunan mendakap kejuaraan pertamanya.

Bagaimanapun, dia memuji seluruh barisan pemain kerana mempamerkan semangat juang yang tinggi walaupun pada awalnya mereka tidak diletakkan sebarang harapan untuk mara sehingga ke peringkat akhir, namun kejutan demi kejutan terlakar sehingga mereka beraksi di pentas final setelah kali terakhir dilakukan pada 2004.

“Pertama sekali saya hendak ucap Alhamdulillah. Terima kasih kepada keluarga saya beri sokongan, mungkin tiada rezeki di sini. Saya terima seadanya.

“Seluruh pasukan telah buat yang terbaik di Temerloh. Saya tidak menyangka yang pasukan ini boleh masuk ke final. InshaAllah comeback tahun depan. Jumpa lagi,” katanya.