PERSEKUTUAN Karate Malaysia (MAKAF) menerima suntikan semangat baharu apabila mendapat pelepasan rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menubuhkan Akademi Karate Malaysia serta menganjurkan Kejohanan Karate Dunia, hasil pertemuan positif bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Presiden MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad memaklumkan, akademi itu akan memulakan program sulungnya – Kem Bakat – bermula Mei ini di Jasin, Melaka, melibatkan tiga fasa dengan penyertaan lebih 130 atlet remaja dari seluruh negara yang berumur 14 hingga 16 tahun.

“Kami amat bersyukur kerana Menteri kerana memberi ruang dan sokongan penuh terhadap pembangunan karate di peringkat akar umbi.

“Akademi ini bukan sekadar latihan, tapi wadah mencungkil bakat baharu demi kelangsungan prestasi negara,” kata Datuk Azmi.

Selain akademi, MAKAF turut diberikan lampu hijau untuk menganjurkan Kejohanan Karate Dunia (World Series) pada bulan Oktober ini, yang bakal menyaksikan penyertaan lebih 130 negara.

Ia sekali gus meletakkan Malaysia sebagai hab pembangunan karate peringkat Asia Tenggara dan dunia.

“Kita juga dalam proses menjayakan Akademi Karate peringkat Zon ASEAN, juga di Jasin.

“Ini bukti keyakinan badan antarabangsa terhadap usaha Malaysia memajukan sukan karate,” tambah beliau.

Kompleks MSN Saujana, Asahan, Melaka menjadi lokasi bertapaknya Akademi Karate Malaysia.

Turut dimaklumkan, program pembangunan ini turut disokong oleh Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), serta tenaga pengajar dari kalangan jurulatih negeri, jurulatih kebangsaan dan bekas atlet karate negara.

Untuk kesinambungan jangka panjang, MAKAF juga sedang membina ekosistem menyeluruh merangkumi pembangunan atlet, jurulatih dan juga pengadil muda, dengan matlamat melahirkan tenaga mahir dan berwibawa di peringkat antarabangsa.

“Karate ini tidak bergantung 100% pada dana kerajaan.

“Kami juga ada penaja dan akan terus usaha menambah sumber untuk pembangunan lebih besar,” ujar beliau lagi.

Inisiatif ini bukan sahaja menyokong misi Sukan Malaysia (SUKMA), malah bakal menjadikan setiap negeri tidak lagi bergantung kepada atlet ‘import’, sebaliknya melahirkan atlet tulen dari negeri masing-masing.