JAGUH silat negara, Mohd Al Jufferi Jamari menghampiri sasaran peribadi untuk meraih gelaran juara dunia buat kali keempat apabila menumpaskan peserta Filipina dalam perlawanan yang menyaksikan jaguh negara itu hampir hilang sabar sehinggakan dikenakan penalti dalam pertarungan suku akhir Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 pada Jumaat.

Menang 59-41 dalam pertarungan tiga pusingan Kelas F (70-75kg), juara dunia 2012, 2015 dan 2016 itu mengakui dia hampir terpancing dengan taktik Alvin T. Campos yang bukan sahaja cuba mengambil kesempatan ke atas kecederaan dialaminya tetapi membuat bantahan tidak perlu.

“Memang tadi saya agak emosi tetapi saya berjaya kawal. Apabila saya pegang dia, dia cuba menyiku bahu saya (yang diketahui cedera).

“Dia juga mengadu saya membuat kesalahan kerana menumbuk sambil membuat kuncian, yang mana dibenarkan mengikut peraturan baharu,” katanya selepas pertarungan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Ini adalah kali keempat pesilat dari Kedah itu bertemu dengan Campo tetapi sebelum ini dalam kelas E (65-70kg). Dia menganggap pesilat Filipina itu tidak banyak berubah dari segi strategi yang digunakan seperti sebelum ini.

“Cara dia terlalu agresif. Saya kenal dia dari dahulu memang begitu. Apabila saya tak tahan (sabar) tadi saya melawan dengan menaikkan lutut,” katanya.

Perbuatan Mohd.Juferi menaikkan lutut sehingga mengenai perut Campo menyebabkan dia dipotong lima mata ketika sedang mendahului 51-22 pada pusingan ketiga.

“Sebagai manusia kita mesti mempertahankan diri apabila pihak lawan keterlaluan. Tetapi saya lepaskan pada sasaran yang tepat.

“Jurulatih juga ingatkan saya supaya kawal perasaan. Saya juga lap badan dia (Campos) daripada peluh bagi mengelakkan licin untuk saya pegang dia, walaupun ditegur tetapi ini juga dibenarkan (peraturan baharu),” katanya.

Lawan yang menanti Al-Jufferi esok (Sabtu) adalah Zetout Abdelmk. Wakil Algeria itu tidak menghadapi banyak masalah untuk turut mara ke separuh akhir apabila menumpaskan Muhammad Ammar dari Pakistan 55-11.