PERJALANAN wirawati skuasy negara, S Sivasangari di Terbuka Singapura, bernoktah di suku akhir, apabila tewas di tangan pemain England, Sarah-Jane Perry.

Sememangnya di atas kertas, Perry tidak pernah tewas kepada Sivasangari daripada tiga pertemuan, namun bukan mudah untuknya menghadapi pemain negara itu, kali ini terutamanya selepas mendapat motivasi dengan menewaskan pemain ranking keenam dunia dari Mesir, Nour El Tayeb, di pusingan kedua.

Pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari gagal menyaingi Sarah-Jane Perry dari England. |Foto SINGAPORESQUASH

Hakikatnya terbukti apabila Sivasangari yang berada di ranking ke-29 dunia, memenangi set pertama 11-8.

Pemain England yang menghuni tangga ke-13 dunia itu bagaimanapun merampas set kedua 11-9, sebelum diberi tentangan sengit pada set ketiga.

Pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari terhenti di suku akhir Terbuka Singapura, |Foto SINGAPORESQUASH

Biarpun mendahului 5-2, dia dikejutkan dengan kebangkitan Sivasangari sebelum memenangi set ketiga 12-10 dan 11-7 pada set keempat.

“Biarpun saya berada di ranking lebih tinggi, tidak mudah menggalas cabaran kali ini kerana Sivasangari mempamerkan aksi luar biasa semalam ketika menewaskan Nour.

“Saya berbangga dengan cara saya fokus pada perlawanan ini, itu meningkatkan keyakinan dan memenangi perlawanan,” kata Perry.