BUKAN sekali, tetapi empat kali ditinggalkan bersendirian di laluan sunyi, menjadikan ibu bapa bimbang terhadap keselamatan anaknya, yang menjalani latihan kayuhan berbasikal bersama Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (KLCA).
Ketika Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menitikberatkan Kod Sukan Selamat (KSS), ibu bapa kepada bekas pelumba remaja KLCA berasakan persatuan itu dan jurulatihnya mengabaikan aspek keselamatan apa yang ditinggalkan itu pelumba perempuan berusia 13 tahun.
Nur Dayana Qamelia Nazrul Nizam, 13, menceritakan pengalamannya menjalani latihan di Bukit Hantu,Hulu Langat, yang digambarkan sebagai menakutkan selepas dibiarkan bersendirian gara-gara gagal mengikut kumpulan pelumba elit.

Nur Dayana, 13, ditinggal seorang diri tanpa pengawasan di laluan hutan, selepas ketinggalan jauh dari kelompok pelumba elit.
“Perasaan saya sangat takut sebab kena tinggal seorang diri kerana kawasan situ (Bukit Hantu) sangat sunyi dan memang hutan. Saya takut saya boleh diculik atau apa-apa yang tidak diingini boleh berlaku kepada saya,” kata Nur Dayana.
Soal keselamatan pelumba yang berada dalam program pembangunan nampaknya tidak dititik beratkan jurulatih yang mengendalikan latihan.
Menurut Nur Dayana, jurulatih berpengalaman, Datuk Ng Joo Ngan mahu semua pelumba sentiasa berada dalam satu kelompok dan para pelumba harus bersama-sama sehingga ke garisan penamat dan jika terpisah, mereka akan ditinggalkan tanpa ada pengawasan dari sesiapa.

Ibu bapa dan bekas pelumba lega akhirnya dapat berkongsi masalah mereka dengan media.
Jelasnya lagi, lebih membimbangkan adalah keselamatan diri apabila harus berseorangan selepas terpisah jauh dari pelumba
“Saya sangat sedih kerana ditinggalkan sendirian oleh jurulatih saya. Kenapa dia buat macam tu? Saya tidak dapat bersaing dengan pasukan elit,” katanya.
Untuk makluman, Nur Dayana mula bersama KLCA sejak Mei 2023 ketika berusia 12 tahun sehingga kini.

Amirul Araf hanya menerima elaun RM50 sepanjang bersama KLCA.
Dalam pada itu, bekas pelumba KLCA yang lain pula mengakui, KLCA tidak menyempurnakan tanggungjawab membayar elaun latihan mereka.
Amirul Asraf Ahmad Safie, 21, berkata, dia menyertai KLCA pada 2017, pernah mencapai kejayaan di Kejohanan Berbasikal Remaja Kebangsaan (JCM), Kejohanan Kebangsaan, dan beberapa lagi kejohanan tempatan, sebelum memutuskan keluar dari persatuan itu pada 2022.

Keputusan dicapai pada kejohanan tidak mampu memberi keyakinan kepada jurulatih, Ng Joo Ngan untuk mempertahankan pelumba bimbingannya.

Nasib malang buat Dhia Dani apabila mahu melupakan cita-cita sebagai pelumba dan menjadikannya hobi sahaja.
“Saya ambil keputusan meninggalkan KLCA kerana tiada perubahan dan keluhan tidak dipedulikan.
“Rider lain, sekejap datang dan tak datang latihan, boleh menerima elaun penuh tetapi saya dan beberapa orang yang tinggal di rumah kelab dan tidak ponteng latihan berbeza.
“Sepanjang 2017 hingga 2022, hanya sekali menerima elaun iaitu RM50, jurulatih beritahu tiada bajet,” kata Amirul.

Dhia Dani akur melupakan cita-cita sebagai pelumba dan tinggal menjadi hobi.
Dhia Dani Mohd Khairi, 17, pula mengakui hanya menerima RM200 iaitu tiga kali bayaran sepanjang dua tahun bersama KLCA dan diketepikan dengan alasan masalah prestasi.
“Saya sertai KLCA pada usia 16 tahun, iaitu bermula penghujung tahun 2021. Cita-cita memang nak menjadi pelumba berjaya tetapi sekarang sekadar hobi sahaja,” kata Dhia Dani.

Pada usia 15 tahun, Muhammad Zafrul hanya mampu menerima nasib yang menimpa dirinya.

Muhammad Zafrul berjaya menaiki podium namun dikatakan tidak mempunyai pencapaian.
Muhammad Zafrul Mohd Syukry, 15, pula berkata, dia tidak lagi bersama KLCA dan tidak berkayuh lagi selepas basikal dipinjam dari persatuan itu ditarik balik kerana dikatakan tiada peningkatan prestasi.
“Saya sertai KLCA pada 2023 hingga tahun ini, tapi sekarang dah keluar kerana persatuan mengatakan prestasi saya tidak baik,” katanya yang mengakui tida pernah menerima elaun meskipun menjalani latihan selama setahun dan tinggal di rumah kelab terbabit.