Pemain tengah Real Madrid, Aurelien Tchouameni menyifatkan kemenangan 2-1 pasukannya ke atas Benfica awal pagi tadi sebagai kejayaan buat “semua yang menentang rasisme” selepas mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.
Pemain Perancis itu merujuk kepada aksi pertama minggu lalu yang dimenangi Madrid 1-0, namun dicemari dakwaan penghinaan berbaur perkauman terhadap Vinicius Junior oleh pemain Benfica, Gianluca Prestianni.
“Kami tidak beraksi perlawanan terbaik musim ini, itu pasti. Tetapi saya fikir ada perkara yang lebih penting daripada perlawanan ini dan lebih penting daripada bola sepak,” kata Tchouameni kepada wartawan.
Vinicius menjaringkan gol kedua Madrid di Santiago Bernabeu dan Tchouameni berkata keputusan itu adalah “kemenangan buat semua yang menentang rasisme.”
Prestianni digantung sementara oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) bagi perlawanan itu sementara siasatan dijalankan, manakala rayuan Benfica terhadap penggantungan itu turut ditolak pada hari perlawanan.
Real Madrid turut memaklumkan mereka menghalau seorang penyokong sendiri sebelum perlawanan kerana melakukan tabik Nazi.
“Ahli kelab ini dikenal pasti oleh kakitangan keselamatan sejurus imej itu muncul dalam siaran televisyen dan dia segera diusir dari Santiago Bernabeu,” menurut Madrid dalam satu kenyataan.
“Real Madrid mengecam sebarang perbuatan dan ekspresi seperti ini yang mencetuskan keganasan dan kebencian dalam sukan serta masyarakat.”
Jurulatih Real Madrid, Alvaro Arbeloa pula mengakui gembira melihat Vinicius menemui jaringan.
“Sudah tentu saya gembira, bukan sahaja kerana gol hebat yang dijaringkannya tetapi kerana ia dilakukan olehnya, dia memang layak,” kata Arbeloa.
“Tanpa (Kylian) Mbappe, saya fikir ia lebih penting dan saya sangat gembira untuknya.”
Sebelum perlawanan, Arbeloa menjelaskan penyerang Perancis itu akan berehat seketika bagi memulihkan kecederaan lutut.
“Selepas sesi semalam, kami berbincang dengan doktor dan saya juga bercakap dengannya. Kami berasakan langkah terbaik adalah dia berehat seketika untuk pulih sepenuhnya dan kembali dalam keadaan terbaik tanpa sebarang kesakitan bagi menghadapi perlawanan penting selepas ini,” katanya.
Ditanya sama ada ia sekadar rasa tidak selesa atau kecederaan, beliau berkata: “Saya rasa kita boleh panggil ia kecederaan, tetapi nampaknya dan saya harap, ia tidak terlalu serius dan dia boleh kembali dalam beberapa hari atau minggu.” – AFP