KERAJAAN Gabon mengambil tindakan drastik dengan menggantung pasukan bola sepak kebangsaan, memecat barisan jurulatih dan menggugurkan pemain bintang Pierre-Emerick Aubameyang susulan prestasi buruk di Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) di Maghribi.

Menteri Belia dan Sukan Gabon berkata keputusan itu dibuat selepas pasukan negara menamatkan saingan di kedudukan tercorot kumpulan dengan tiga kekalahan berturut-turut.

Menurutnya, kerajaan memutuskan untuk menggantung pasukan kebangsaan sehingga diberitahu kelak, selain menyingkirkan Aubameyang dan seorang lagi pemain senior, Bruno Ecuele Manga, daripada skuad negara.

Gabon tewas dalam dua perlawanan awal sebelum mengalami kekalahan 3-2 kepada Ivory Coast dalam aksi terakhir kumpulan, walaupun sempat mendahului perlawanan tersebut.

Aubameyang, yang kini berusia 36 tahun, tidak beraksi dalam perlawanan terakhir kerana pulang ke kelabnya, Marseille, bagi rawatan kecederaan paha. Kerajaan Gabon memaklumkan kedua-dua pemain veteran itu tidak lagi akan dipanggil mewakili negara.

Dalam satu kenyataan di media sosial, Aubameyang berkata masalah yang melanda pasukan kebangsaan Gabon lebih besar daripada dirinya sebagai individu.

Tindakan menggantung pasukan kebangsaan oleh kerajaan ini dianggap luar biasa kerana FIFA melarang campur tangan kerajaan dalam urusan bola sepak, dan ia berpotensi mengundang tindakan lanjut daripada badan induk dunia itu.