Kerja-kerja menaik taraf kemudahan termasuk penukaran rumput padang di Stadium Perak dijangka siap sepenuhnya pada Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata projek berkenaan pada asalnya disasarkan siap lebih awal, namun beberapa faktor termasuk cuaca serta pelarasan skop kerja menyebabkan jadual pelaksanaan terpaksa disusun semula.

Ketika ini, kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan dan longkang sedang giat dilaksanakan manakala rumput lama telah dibuka sepenuhnya untuk penanaman rumput baharu.

“Apabila semua skop kerja ini telah disiapkan, kita perlu menunggu kira-kira tiga atau empat bulan untuk tempoh percubaan sebelum boleh digunakan sepenuhnya untuk pelbagai aktiviti,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Ramah Mesra di Bazar Ramadan Medan Gopeng, di sini semalam.

Pada 3 Oktober tahun lepas, kerajaan negeri menyasarkan kerja menaik taraf kemudahan termasuk padang stadium yang menggunakan rumput jenis Axonopus Putra dijangka siap pada Januari lepas.

Sandrea berkata pihaknya akan terus memantau kemajuan projek selain memastikan semua kerja dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan. – BERNAMA