JURULATIH Melaka United, Asri Ninggal menyatakan ketiadaan pemain import dalam pertemuan menentang Johor Darul Ta’zim pada Isnin menjadi punca pasukannya dilihat kurang berkesan dalam perlawanan itu.

Dia juga menjelaskan kemana perginya pemain import Melaka selain kecederaan pemain yang tidak dijangka sedikit menggangu taktikal pasukan dan dia mahukan Melaka United bermain secara habis-habisan dalam baki perlawanan liga.

“Sudah semestinya bila ada pemain import pasukan akan lebih kuat dan tiada pemain import, kami kurang kekuatan. Menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim bukannya mudah dan mereka juga nak menang. Kami mempunyai beberapa peluang tetapi gagal untuk menyempurnakannya.

“Ada beberapa pemain import kami yang cedera dan ada yang mempunyai masalah keluarga. Buat masa ini pemain tempatan beraksi baik dan kredit harus diberikan kepada mereka.

“Kami juga tidak menyangka ramai pemain akan tercedera dan pertukaran yang menggangu taktikal dan akhirnya kami terpaksa bermain 10 pemain pada babak akhir permainan.

“Pastinya kami tidak mahu berada dimana kedudukan kami sekarang ini dan mahu mengutip seberapa banyak yang boleh dalam baki perlawanan bagi memastikan mendapat undian yang selesa dalam Piala Malaysia nanti,” jelas Asri kepada media.

Asri juga berkata Melaka United mampu menjadi pasukan yang bagus sekiranya mempunyai pasukan yang lengkap tetapi kini perancangannya sebagai jurulatih terganggu akibat ketiadaan pemain import dan juga kecederaan pemain.

Berbaki tujuh perlawanan, Melaka United kini ditangga kelapan dengan 17 mata dan bakal bertemu Terengganu FC pada Sabtu di laman lawan.