PELAYAR negara, Khairulnizam Afendy berjaya mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Paris 2024, selepas menduduki tempat ketiga kejohanan Last Chance Regatta bagi kelas Single-Handed Dinghy ILCA 7 lelaki di Perancis.

Dia muncul atlet ke-10 negara akan beraksi di Temasya Sukan terbesar dunia itu, Julai hingga Ogos depan, dan pelayar kedua negara selepas Nur Shazrin Latif.

Menurut Majlis Olimpik Malaysia (MOM), pencapaian Khairulnizam itu membolehkannya tampil di pentas Olimpik buat kali keempat berturut-turut.

“Dalam peluang terakhir Khairulnizam untuk menempah tempat ke Paris 2024, dia memperoleh slot hasil menduduki tempat ketiga di Last Chance Regatta 2024 di Hyeres, Perancis, bagi saingan Single-Handed Dinghy ILCA 7 lelaki,” kata MOM di akaun media sosial, Facebook.

Aksi Khairulnizam di Last Chance Regatta 2024, di Hyerers, Perancis.

Atlet kelahiran Kedah berusia 31 tahun itu mengumpul 63 mata selepas di hujung aksi 10 perlumbaan yang sedang berlangsung.

Juara Sukan Asia, Ha Jee Min dari Korea Selatan juga memperoleh penampilan Olimpik keempat selepas terikat di kedudukan pertama dengan wakil Estonia, Karl Martin Rammo dengan 43 mata.

Masih ada lagi perlumbaan pingat untuk merebut 10 kedudukan teratas tetapi Khairulnizam sudah mengesahkan slot daripada baki  empat tempat terakhir yang dipertaruhkan untuk kelas ICLA7 (dahulunya kelas Laser) di Paris 2024.

Usaha gigih Khairulnizam akhirnya membuahkan hasil apabila melayakkan diri ke Sukan Olimpik kali keempat berturut-turut.

Khairulnizam beraksi kali pertama di temasya berkenaan pada London 2012, diikuti Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Atlet negara yang secara rasmi telah layak ke Olimpik Paris adalah Bertrand Rhodict Lises (terjun), Nur Shazrin Latif dan Khairulnizam (pelayaran), Jonathan Nyepa (menembak), Ariana Nur Dania Zairi (memanah), Muhammad Aniq Kasdan (angkat berat), Nur Aisyah Mohd Zubir (basikal jalan raya), Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (basikal trek).

Setakat ini, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) belum mengumumkan senarai rasmi pemain badminton dunia yang layak ke temasya terbersar dunia itu.