EJEN pemain terkenal Insa Project Global Group memaparkan tangkap layar yang menunjukkan perbualan antaranya bersama ejen pemain warisan Malaysia, Nooa Laine.

Insa Project Global Group yang juga milik Kiko Insa berkongsi perbualan antara mereka sebelum Nooa menjadi milik Selangor FC yang diumumkan hari ini (Jumaat) secara pinjaman dengan pilihan pembelian dari kelab Finland, SJK Seinajoki.

Menerusi perbualan itu, jelas perbincangan awal telah diadakan antara dua pihak dan difahamkan ejen tersebut cuba mencipta perang bidaan.

“Hi Kiko, saya difahamkan bahawa Nooa cuba untuk menghubungi kamu. Sekiranya kami tidak memdengar apa-apa dalam masa 4 jam, kami menganggap anda tidak berminat dan kami akan pergi menandatangani bersama Selangor,” ujar perbualan dalam menerusi aplikasi Whatsapp itu.

Kiko memuat naik hantaran di laman instagram peribadinya yang kelihatan menyindir pengurusan Selangor FC sekaligus menjawab sebab mengapa Nooa memilih Selangor meskipun sebelum ini pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan bahawa pemain berusia 22 tahun itu akan menyertai Harimau Selatan.

“Kami adalah pilihan setiap orang termasuk pemain baharu kamu,” tulisnya dalam hantaran itu.

Tunku Ismail turut mengulang hantaran itu di Instastory nya sekaligus membuktikan perang harga telah cuba diwujudkan ejen itu bagi mendapat bayaran yang lebih tinggi.

Sebelum ini, JDT juga turut memuatnaik mengenai perkongsian di media sosial menerusi Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards mengatakan bahawa pihak kelab telah menolak seorang pemain Malaysia di luar negara berikutan tawaran harga yang tidak munasabah.