PEMANDU muda Itali, Kimi Antonelli, yang bakal menggantikan juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton, di Mercedes untuk musim 2025, baru sahaja lulus ujian memandu. Antonelli, yang berusia 18 tahun, kini sah memegang lesen memandu, selepas mencapai usia minimum 18 tahun di Itali.
Kejayaan ini disambut dengan penuh keterujaan oleh pasukan Mercedes yang memuat naik gambar Antonelli memberi isyarat ‘thumbs up’ dalam kereta sekolah memandu, dengan status “Mission completed” di Instagram mereka.
Antonelli telah menjalani beberapa ujian prestasi dengan jentera Formula Satu sebelum ini, dan kini bersedia untuk melangkah ke hadapan sebagai salah seorang pemandu Mercedes bersama George Russell.
Musim baru Formula Satu akan bermula pada 16 Mac di Australia, dengan Antonelli menjadi antara beberapa pemandu rookie yang akan beraksi di pentas tertinggi selepas beraksi di Formula Dua.
Kehadiran Antonelli dijangka memberi cabaran baru kepada pasukan Mercedes, selepas kepindahan Hamilton ke Ferrari. Mercedes dijadualkan melancarkan jentera 2025 mereka pada 24 Februari, dua hari sebelum ujian di Bahrain bermula.