
“Kita tiada masa untuk bersedih, kena bangkit dan kembali lebih kuat” – Lee Zii Jia

FAKTA bahawa pasukan negara sudah tersingkir perlu diterima dan pasukan perlu lakukan sesuatu untuk bangkit daripada kekalahan di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC), Jumaat lalu.
Pemain ranking keempat dunia, Lee Zii Jia berkata, dia berharap skuad negara bangkit dengan lebih kuat di masa akan datang.
“Tak kira sama ada saya atau pasukan, kalah bermakna sudah tersingkir dan kami perlu terima. Lebih penting adalah kita tiada masa untuk bersedih dan menuding jari menyatakan kekalahan disebabkan sesiapa.
“Kena bangkit dan kembali dengan lebih kuat selepas ini,” kata Zii Jia.
Pada perlawanan suku akhir BAMTC Jumaat lalu, hanya Lee Zii Jia dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah menghadiahkan mata buat skuad negara ketika tewas 2-3 kepada skuad pelapis China.
Daripada empat perlawanan di BAMTC, Zii Jia beraksi tiga kali, pada perlawanan pertama menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), India dan China yang menyaksikan dia tewas sekali ketika berdepan HS Pranoy (India).
ARTIKEL BERKAITAN : BAMTC2023: Norza enggan melatah, “Pertandingan ini belum habis lagi”
Mengulas mengenai prestasinya di kejohanan yang berlangsung di Dubai, UAE itu, dia berkata: “Saya tidak terkejut melihat cara pemain China, Lei Lan Xi bermain, dia beraksi dengan berani kerana tiada tekanan, sebagaimana saya ketika sedang naik dahulu.
“Sekarang saya dikejar dan berada dalam situasi agak tertekan, apa lagi semua orang tahu prestasi saya agak mendatar.
“Tapi saya sedar sekarang, tak kira macam mana saya bermain, cantik ke tidak kerana apa yang diperlukan adalah kemenangan untuk mengembalikan keyakinan,” katanya.
Skuad badminton negara berada dalam Kumpulan B bersama India, Kazakhstan dan UAE, muncul naib juara selepas menang dua perlawanan dan tewas sekali kepada India sebelum melangkah ke suku akhir dan tewas 2-3 kepada China yang melangkah ke final.