PERSATUAN Badminton Kuala Lumpur (KLBA) mengorak langkah dalam misi membangunkan bakat-bakat muda menerusi jalinan kerjasama dengan dengan Ban Thong Yord Badminton School (BSS) yang berpengkalan di Bangkok, Thailand.

Kerjasama melibatkan tempoh lima tahun bermula tahun ini sehingga 2026 di mana KLBA akan menghantar lima pemain terbaik persatuan ke kelab itu selama sebulan.

Presiden KLBA, Datuk Seri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos berharap, ini merupakan titik mula buat persatuan yang mahu melahirkan pemain-pemain yang lebih berkualiti selaras dengan misi barisan kepimpinan baharu untuk memperkasa program pembangunan.

“Kita berharap untuk bekerjasama dengan lebih banyak lagi kelab kelab badminton dari luar negara dengan hasrat berkongsi idea dan pandangan terutama sistem latihan pemain-pemain muda kita dan pada masa yang sama menyuntik idea baharu kepada barisan kejurulatihan,” katanya pada Jumaat.

Sementara itu, Pengerusi merangkap Naib Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA), Datuk Razif Sidek mengakui pasangan beregu yang dimiliki negara pada masa ini bertaraf dunia namun masih ada ruang yang perlu diperbaiki menjelang perlawanan akan datang.

“Beregu kita nampak begitu menyerlah dan setakat ini yang kita nampak sangat menyerlah, beregu lelaki kita Aaron-Wooi Yik, Izzuddin dan Sze Fei.

“Mereka memang bertaraf dunia dalam Malaysia Open dan Malaysian Masters, mereka lebih baik sikitlah tapi saya rasa mereka boleh dibaik pulih.

“Mungkin dari segi strategi taktikal ada kekurangan dan yang terakhir dari segi mental,” ujarnya kepada media.

Bagaimanapun, beliau berkata ketiadaan pemain senior sedikit merencatkan persembahan gandingan beregu yang masih muda kerana terdapat ruang dari segi taktik dan teknik yang perlu dibaik pulih.

“Mereka tiada orang yang lebih senior daripada mereka, yang senior ini ada di luar.

“Seandainya, mereka ada dalam BAM, saya percaya dari segi taktikal teknik, dia lebih bagus,” katanya.