KEHADIRAN skuad Korea Selatan ke Doha membawa bekalan rekod cemerlang dan dilabel pasukan pilihan muncul juara Piala Asia 2023 di Qatar.

Apa tidaknya, Taegeuk Warriors telah memenangi enam perlawanan terakhir mereka, menjaringkan 20 gol tanpa bolos.

Namun begitu, jurulatihnya, Jurgen Klinsmann masih dihentam oleh pengkritik yang menuduhnya menghabiskan terlalu banyak masa di luar negara dan mengabaikan saingan domestik Liga Korea.

Difahamkan, situasi ini menimbulkan perasaan berang dan kurang puas hati penyokong Korea yang tidak gemar tingkah laku diamalkan oleh legenda Jerman itu.

Bagaimanapun, Klinsmann memberi hujahan bahawa dia adalah “seorang jurulatih antarabangsa” dan telah menolak segala seruan supaya mengubah pendekatannya.

Namun, rekod suram kejohanan Piala Asia untuk Korea Selatan adalah misteri bagi pasukan yang telah membuat penampilan sebanyak 10 kali pentas Piala Dunia.

Mereka tewas kepada tuan rumah, Australia pada final 2015 dan diketepikan oleh Qatar pada suku akhir empat tahun kemudian.

Korea bakal memulakan gelaran memburu kejuaraan di Qatar menentang Bahrain pada Isnin.

Malaysia dan Jordan yang juga berada dalam Kumpulan E sepatutnya boleh dimenangi dengan mudah

Pun begitu, Klinsmann berpesan kepada pemain bahawa matlamat utama adalah sama-sama membawa pulang Piala Asia.

“Saya percaya kepada pasukan Korea ini bahawa mereka boleh merealisasikannya kerana kami mempunyai begitu banyak kualiti dengan begitu ramai pemain yang bagus beraksi dengan sangat baik.

“Kami mampu memenangi kejohanan ini. Ia memerlukan banyak usaha, ia memerlukan banyak detik istimewa, tetapi ia benar-benar boleh dilakukan,” katanya.

Kali terakhir Korea menjulang Piala Asia adalah semasa edisi kedua pada tahun 1960 di halaman sendiri.