PUKULAN balas berkualiti daripada pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, menjadi antara punca utama gandingan negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, gagal merampas kejuaraan Seluruh England daripada lawan.

Wooi Yik mengakui, meskipun beberapa kali menukar taktikal permainan dalam usaha mendapatkan kelebihan pada perlawanan akhir Seluruh England 2024 itu, dia dan Aaron tetap terperangkap dengan disiplin tinggi pemain lawan yang menyaksikan mereka tewas straight set 16-21, 16-21 dalam masa 44 minit di Utilita Arena, Birmingham.

Soh Wooi Yik mengakui pukulan-pukulan berkualiti Fajar-Rian menjadikan lawan lebih baik di pentas final Seluruh England 2024.

“Sudah tentu kami cuba menukar kepada beberapa taktikal, supaya kami lebih selesa bermain corak yang kami mahukan.

“Tetapi service receiving mereka amat berkualiti dan itu membuatkan kami tidak selesa,” kata Wooi Yik kepada BWF, sejurus selepas tamat perlawanan akhir itu.

Katanya, meskipun berkerja keras pada set kedua, Fajar-Rian tetap konsisten dan akhirnya gandingan nombor tujuh dunia dari Indonesia itu berjaya mempertahan kejuaraan tahun lalu.

Sepanjang kejohanan Seluruh England 2024, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mempamerkan kepantasan dan corak permainan mereka cukup efektif, namun tidak menjadi pada final semalam. 

Aaron turut mengakui Fajar-Rian terlalu cemerlang pada perlawanan akhir, meskipun Aaron-Wooi Yik cuba kekal dalam zon permainan mereka.

“Kami bermain dengan corak kami dengan baik, cuma ianya tidak menjadi hari ini.

“Apapun saya tetap gembira dengan prestasi kami sepanjang minggu ini dan pasti akan mengembalikan momentum ini,” kata Aaron, sekali gus menafikan kepantasan Fajar-Rian gagal disaingi mereka, sebaliknya corak permainan dan pulukan berkualiti lawan lebih menjadi.

Aksi di Seluruh England menjadi pencapaian terbaik Aaron-Wooi Yik musim ini, apabila tampil di final pertama mereka selepas sekadar ke separuh akhir Terbuka India, dan suku akhir Terbuka Malaysia dan Terbuka Perancis.

Gandingan negara akan kembali ke tanah air untuk memperkemas permainan sebelum saingan Sukan Olimpik Paris bermula, Julai hingga Ogos depan.