DIDIER Deschamps bersetuju untuk kekal memainkan peranannya bersama Les Bleus selama tiga tahun setengah lagi, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depannya.
Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) mengesahkan mengenai pelanjutan kontrak ketua jurulatih yang bersama pasukan itu sejak Julai 2012.
Sepanjang bersama Perancis, Deschamps berjaya membawa pasukan itu menjulang Piala Dunia 2018 ketika menewaskan Croatia di final.
Pada Piala Dunia di Qatar, Deschamps memimpin pasukan itu sehingga ke final sebelum tewas kepada Argentina 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas masa sebenar perlawanan berakhir dengan 3-3.
“Di Qatar, kami hampir mencapai apa yang kami mahukan iaitu memenangi Piala Dunia. Banyak perkara positif perlu diambil kira,” kata Deschamps.
Pemain Perancis kecewa dengan kekalahan itu namun terharu dengan sambutan diterima mereka sebaik pulang ke Paris.
“Apabila kembali ke Perancis, saya sedar betapa besarnya emosi dan keghairahan masyarakat dicetuskan Piala Dunia
“Kami mendapat sokongan dan anda boleh mengharapkan saya untuk membawa Perancis ke tahap yang tertinggi,” kata Deschamps.
Presiden FFF, Noel Le Graet dilaporkan hanya mahu menawarkan lanjutan kontrak dua tahun sehingga Kejohanan Eropah di Jerman, 2024, namun ketua jurulatih berusia 54 tahun itu mahu kekal sehingga Piala Dunia seterusnya, yang akan berlangsung di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico.
Sepanjang 139 perlawanan di bawah bimbingan Deschamps, Perancis mencapai 89 kemenangan, seri 28 kali dan hanya tewas 22 dengan 279 jaringan dan bolos 119 gol.
Dengan lanjutan kontrak itu, Deschamps akan menjadi jurulatih yang berkhidmat paling lama buat Perancis, mengatasi rekod Michel Hidalgo (Mac 1976-Jun 1984).
Skuad kebangsaan Perancis akan kembali beraksi pada 24 Mac depan, apabila dijadual menentang Belanda di Stade de France untuk saingan awal kelayakan Euro 2024.
Memenangi kejohanan itu menjadi matlamat utama selepas mereka diulit kekecewaan pada edisi 2016 di laman sendiri.