DUA penuntut universiti tempatan yang bakal menggalas cabaran di Sukan Olimpik Paris 2024, Muhammad Aniq Kasdan dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri. akan diberi ruang seluas-luasnya untuk fokus kepada prestasi di temasya sukan terbesar dunia itu Julai hingga Ogos depan.

Malah, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga akan memberi sokongan menerusi insentif yang akan disampaikan kedua-dua atlet terbabit berlepas ke Paris.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Dr Azlinda Azman berkata, keutamaan KPT terhadap dua atlet yang menjadi contoh kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) negara itu, adalah membantu mereka mempamerkan potensi sebenar di Sukan Olimpik.

KPT akan memberi insentif kepada dua penuntut IPTA yang layak ke Olimpik Paris. -Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Dr Azlinda Azman

“KPT akan memberi sedikit insentif sebagai sokongan kita. Saya yakin lebih banyak agensi lain akan turut membantu potensi besar yang ada pada kedua-dua penuntut ini.

“Insentif yang akan disampaikan sebelum Sukan Olimpik bermula akan mengikut keperluan atlet itu sendiri, mungkin barangan, sokongan persiapan dan peralatan, namun semuanya bergantung kepada keperluan atlet,” kata Azlinda, selepas upacara Penutup Karnival Sukan Masum 2024 di Universiti Malaya.

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, bakal beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 pada usia 20 tahun

Menurutnya, KPT sentiasa menyokong penuntut pusat pengajian tinggi untuk memajukan diri dalam sukan tanpa mengira gender.

Untuk rekod, Aniq adalah penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) layak ke Paris dalam sukan angkat berat (61kg), manakala Nurul Izzah, penuntut Universiti Malaya (UM), bakal beraksi dalam dua acara iaitu pecut individu dan keirin.

UM memberi fleksibiliti masa untuk Nurul Izzah Izzati Mohd Asri meneruskan pengajiannya. -Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman

Sementara Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman berkata, pihaknya sentiasa memahami keperluan atlet yang mengharumkan nama negara.

“Selain sukan, Nurul Izzah juga perlukan akademi dan kita akan memberi bantuan sepenuhnya. Kita tahu dia memerlukan masa yang banyak untuk latihan jadi kita telah membawa perhatian kepada senat, memberitahu Nurul Izzah memerlukan masa yang fleksibel untuk akademik kerana kita mahu dia berjaya dalam sukan dan juga akademik.

Mohamad Aniq Kasdan juga akan mendapat sokongan daripada UiTM

“Pengurusan universiti juga akan memberi sumbangan yang bersesuaian, mungkin pengecualian yuran dan sebagainya.

“Kita tidak mahu Nurul Izzah menghadapi masalah akademik, kewangan kerana mahu pastikan dia membawa pulangan dan membanggakan negara,” kata Noor Azuan.