PENYERANG naturalisasi kebangsaan, Guilherme De Paula sudah lali dengan kecaman dan kritikan daripada penyokong namun dia yakin dengan kemampuan sendiri serta tahu apa yang perlu dilakukan.

Pemain berusia 35 tahun itu juga secara terangan mengakui berbangga menyarung jersi Harimau Malaya dan gembira dengan keserasian bersama rakan-rakan sepasukan yang telah memberikan lebih 100 peratus keringat untuk Malaysia.

“Kami berlatih dengan bersungguh-sungguh. Kim Pan-gon sentiasa mendesak dan mahukan yang terbaik daripada. Perlawanan pertama ini cukup baik untuk persediaan dan kini kami akan menentang Hong Kong sebelum jurulatih memilih 23 pemain terbaik ke peringkat Kelayakan Akhir Piala Asia.

“Saya sudah biasa dengan kritikan dan saya letakkan tekanan itu ke atas saya. Saya tahu kualiti saya dan tahu apa yang perlu saya lakukan. Kadang kala ada saat baik dan kadang kala ada saat buruk dalam kehidupan kami sebagai pemain bola sepak. Saya akan berlatih lebih gigih dan saya sudah lama di Malaysia dan berbangga untuk berada dengan pasukan kebangsaan.

“Sistem baharu daripada barisan kejurulatihan mahukan kami mencipta lebih banyak peluang. Lebih ramai pemain yang boleh menjaringkan gol dan kami gembira dengan keserasian yang ditunjukkan di atas padang. Sebagai seorang penyerang bukan sahaja saya tetapi yang lain juga mahu menjaringkan gol dalam setiap perlawanan dan layak ke Piala Asia,” jelasnya ketika ditremui media selepas perlawanan.

De Paula berjaya menjaringkan satu gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-83 dan lebih meriah lagi apabila namanya bergema dengan laungan daripada para penyokong di stadium sebagai tanda sokongan kepada pemain kelahiran Brazil ini.

Malaysia akan turun menentang Hong Kong dalam satu lagi perlawanan persahabatan Rabu nanti sebelum menghadapi cabaran Turkmenistan, Bahrain dan Bangladesh dalam kelayakan akhir Piala Asia bulan hadapan.