“SEPULUH atau lima pemain import bukanlah punca kemenangan atau  kekalahan sesebuah pasukan,” kongsi bekas jurulatih pelbagai pasukan Liga Malaysia, Mohd Azraai Khor Abdullah.

Bekas jurulatih berusia 70 tahun yang kali terakhir memegang pasukan Negeri Sembilan FA pada tahun 2018 mengakui landskap bola sepak, terutama Liga Super sudah berbeza dan semakin sengit.

“Kehadiran ramai pemain import, ada yang sepuluh orang musim ini (Kelantan FC), manakala paling minimum lima pemain import (Negeri Sembilan FC) bukanlah punca sesebuah itu tewas besar (merujuk kepada kekalahan 7-0 Negeri Sembilan FC kepada JDT Isnin lalu).

Negeri Sembilan FC tewas 7-0 kepada JDT pada Isnin.

“Bagi saya kualiti lebih penting daripada kuantiti. Memang rata-rata pemain import sebelum dipanggil mesti ada ujian terlebih dahulu, tetapi aksi ketika ‘test’ kadang-kadang kualiti yang dipamerkan tidak akan sama ketika perlawanan sebenar.

“Jadi jurulatih atau pengurusan juga perlu bijak mencari pemain import yang lebih berkualiti, dan bukan hanya memenuhi kuota pemain sahaja,” kongsinya kepada FLASH SUKAN.

Jelas Mohd Azraai, dia percaya momentum setiap pasukan akan berubah selepas beberapa lagi perlawanan apabila setiap jurulatih sudah pasti akan mengubah corak permainan berdasarkan kemampuan pemain masing-masing.

Sebelum ini laman sesawang transfermarkt.com mengemaskini statistik, maklumat dan nilai pasukan mengenai liga bola sepak dunia termasuk Liga Super 2023.

Menurut senarai yang dipaparkan, pasukan Kelantan FC mempunyai sepuluh orang pemain import sekaligus menyaksikan paling ramai dalam skuad Liga Super musim ini.

Manakala Negeri Sembilan FC pula hanya menggunakan lima kuota pemain import setakat ini.

Selebihnya 12 lagi pasukan mengikat pemain import seramai lapan orang (JDT, Selangor FC, dan Sri Pahang), lima pasukan menggunakan sembilan orang pemain import (Kedah Darul Aman FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Penang FC dan Kuching City FC), manakala Sabah FC dan PDRM FC membeli tujuh pemain import dan Kelantan United serta Perak FC seramai enam orang.

Berdasarkan rekod selepas tiga perlawanan Top 5 setakat ini dihuni oleh JDT diikuti Sabah FC, Selangor FC, Kedah Darul Aman FC dan kelima Sri Pahang FC.

Pemain-pemain import JDT mempamerkan aksi cemerlang setakat ini.

Manakala Terengganu FC berada di tangga tercorot liga.

Untuk rekod, pada Julai 2022, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membuat penstrukturan baharu untuk liga musim ini dengan setiap pasukan dibenarkan menyenaraikan sembilan pemain import dalam pendaftaran 32 pemain, hanya lima pemain import beraksi di atas padang (3+1 Asia+1 Asean) manakala seorang lagi pemain berada di bangku simpanan mengikut peraturan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).