KETIKA Arab Saudi meraikan kemenangan pertama dengan menewaskan Argentina, Mexico dan Poland pula buntu mendapatkan gol pada aksi kedua Kumpulan C yang berkesudahan 0-0.

Malah, ketika memperoleh sepakan penalti yang diambil Robert Lewandowski, Poland masih gagal memecah kebuntuan itu apabila penjaga gol veteran Mexico, Gullermo Ochoa cemerlang menyelamatkan gawangnya dari dibolosi.

Tindakan cemerlang Ochoa itu mendapat sorakan padu penyokong Mexico yang bagaikan lautan hijau, memenuhi Stadium 974 yang mampu memuatkan 40,000 penonton.

Gegak gempita sorakan penyokong Mexico itu mengatasi peminat Poland, cukup meriah namun aksi di atas padang agak tenang dengan kedua-dua pasukan kelihatan tumpul.

Mexico mendominasi penguasaan bola, namun beraksi tanpa Raul Jimenez mengetuai jentera serangan, Henry Martin bergelut untuk mendapatkan peluang di dalam kotak penalti.

Poland pula gagal memanfaatkan kehadiran Lewandowski dalam pasukan selepas penyerang Barcelona yang menjaringkan 18 gol untuk kelab Sepanyol itu musim ini, jarang menerima umpanan cantik dalam kotak penalti.

Melihatkan jentera tengah tidak berfungsi, jurulatih Poland Czeslaw Michniewicz membuat pertukaran separuh masa dengan menarik keluar Nicola Zalewski dan membawa masuk pemain tengah Krystian Bielik, bagi membolehkan Piotr Zielinski bermain lebih tinggi dalam kawasan lawan.

Penjaga gol Mexico, Gullermo Ochoa cemerlang menyelamatkan sepakan penalti diambil Robert Lewandowski pada perlawanan antara Mexico dan Poland yang berkesudahan seri tanpa jaringan.

Perubahan taktikal itu nampaknya berkesan pada awalnya, apabila Poland mula mencipta peluang dan akhirnya memperoleh penalti pada minit ke-58, selepas semakan VAR jelas kelihatan Hector Moreno memegang baju Lewandowski dan menariknya ke bawah.

Lewandowski merembat rendah sepakan penalti tetapi Ochoa yang berusia 37 tahun dan bermain dalam Piala Dunia kelimanya, dapat meneka dengan betul arah bola, melayangkan badan ke kiri untuk menghalang jaringan kapten Poland itu.

Pemain berusia 34 tahun itu adalah penjaring terbanyak sepanjang zaman negaranya dengan 76 gol tetapi masih kekal tanpa jaringan Piala Dunia.

Pada perlawanan itu, bukan hanya Ochoa beraksi cemerlang, penjaga gol Poland Wojciech Szczesny turut tangkas menafikan cubaan serangan pemain Mexico termasuk rembatan Martin.

Jurulatih Mexico Gerardo Martino menggantikan Martin dan membawa Raul Jimenez ketika perlawanan berbaki 20 minit separuh masa kedua, namun penyerang Wolverhampton Wanderers yang kembali dari kecederaan yang lama, gagal melakukan rembatan ke gawang.

Keputusan 0-0 itu sekali gus menyaksikan Arab Saudi mengungguli kumpulan C dengan tiga mata, selepas mengejutkan Argentina 2-1.