PERSATUAN Skuasy Malaysia (SRAM) menganggap, sukan skuasy akhirnya diangkat ke tahap tertinggi, selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengesahkan sukan terbabit dimasukkan ke dalam program Olimpik Los Angeles 2028.

SRAM dalam satu kenyataan berkata, kemasukan sukan itu ke Temasya LA28, menamatkan impian badan induk skuasy negara, yang mahu ia disenaraikan ke dalam temasya sukan terbersar dunia itu.

Pada Isnin, IOC memutuskan lima sukan, besbol/sofbol, kriket, flag football, lacrosse dan skuasy akan dipertandingkan ke LA28.

Pengarah Kejurulatihan SRAM, Major (B) S Maniam yakin ada peluang besar buat pemain skuasy negara di Olimpik Los Angeles.

Pengarah Kejurulatihan SRAM, Major (B) S.Maniam menyatakan rasa terujanya apabila Olimpik Los Angeles akan mempertandingkan dua pingat emas menerusi skuasy, iaitu dalam perseorangan lelaki dan perseorangan wanita.

“Perkhabaran ini amat mempersonakan, kami semua gembira dan teruja dengan keputusan tersebut. Kini kami boleh melakukan persiapan secara efektif, supaya Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) mampu menganjurkannya dengan kegemilangan, sekali gus menarik minat negara lain untuk memasukkan skuasy dalam edisi Olimpik akan datang termasuk di Australia,” kata Maniam.

Tambah beliau, SRAM akan memulakan persiapan jangka panjang untuk menuju ke arah Olimpik 2028, sambil mengharapkan pemain kebangsaan akan tersenarai dalam program Road to Gold (RTG).

Ng Eain Yow (kanan) sandaran utama perseorangan lelaki negara.

“Selama ini, kita sememangnya sentiasa ada pelan jangka panjang untuk Sukan Komanwel dan Sukan Asia, dan tentunya kita akan melakukan persiapan sama untuk Sukan Olimpik, supaya atlet kita bukan hanya menyertai tetapi mampu merasai nikmat kejayaan menaiki podium.

“Saya percaya, jika kita kekal di podium dan berada dalam ranking Top 10 dunia, kita mampu.

“Ketika ini, Ng Eain Yow berada di ranking ke-20 dunia manakala S Sivasangari ke-37 dunia, dengan pendedahan yang betul saya percaya kita akan berada dalam kelompok itu,” katanya.

Aira Azman baru berusia 19 tahun, muncul nai juara Kejohanan Remaja Dunia dan kini menghuni ranking ke-55 dunia senior. -Pix Instagram Aira Azman

Selain itu, Maniam turut menamakan Aifa dan Aira Azman, Amishen Chandran dan beberapa lagi pemain, berpotensi menyelinap masuk sebagai pemain 10 terbaik dunia, bagi mewakili neagra ke Olimpik.

Aetika ini, Aifa menjadi tonggak utama perseorangan wanita negara apabila menghuni ranking ke-24 dunia, diikuti Rachel Arnold (33).

“Kami amat yakin dan kini hanya menunggu dipanggil Majlis Sukan Negara (MSN)bagi membincangkan persiapan ke Olimpik Los Angeles 2028 dan diserap ke dalam program RTG, hanya menanti diumumkan,” katanya.