LEBIH 2,000 peserta membanjiri Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil sempena Olympic Day Run 2025, meraikan semangat kesukanan dan kebanggaan nasional.
Acara anjuran bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM- NOC Malaysia) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) itu diadakan bersempena Hari Sukan Negara, menyatukan rakyat daripada pelbagai latar belakang dalam suasana penuh meriah.

Peserta larian yang mengambil bahagian pada Olympic Day Run 2025.

Bersemangat… peserta berlari mengelilingi perkarangan Sports City.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan penganjuran kali ini sebagai satu lagi kejayaan hasil kerjasama strategik antara MOM dan PSM sejak pelantikan rasmi PSM sebagai rakan Gerakan Olimpik pada Jun lalu.
“Ini satu detik bersejarah yang memperkukuh hubungan dan aspirasi kita bersama ke arah pembangunan sukan negara,” katanya yang turut berterima kasih kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Dr Maimunah Mohd Sharif kerana hadir melepaskan peserta.

Tan Sri Norza sebagai tokoh sukan.

Pengiktirafan Malaysia Book of Record.
Lebih membanggakan, Malaysia Book of Records (MBOR) mengiktiraf Kuala Lumpur sebagai bandar pertama menganjurkan Olympic Day Run pada 1991 di Dataran Merdeka, satu pengiktirafan yang diterima penuh bangga oleh Datuk Bandar.
Walaupun berdepan penutupan jalan sekitar ibu negara bagi persiapan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, acara ini tetap mencatat penyertaan tertinggi dalam sejarah dengan pelari dari 17 negara termasuk Jepun, Korea, Rusia dan Kanada.

Kanak-kanak turut tidak melepaskan peluang menyertai larian.

Bangga… peserta larian menunjukkan momento kenangan, medal Olympic Day Run 2025.
Majlis pelepasan turut disempurnakan oleh Norza bersama Timbalan Presiden MOM, Datuk Nur Azmi Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Ilyas Jamil – menandakan komitmen berterusan terhadap Gerakan Olimpik negara.
Kehadiran tujuh Olimpian negara seperti Bertrand Rhodict Lises, Mohamad Aniq Kasdan dan Khiew Hoe Yean mencetus inspirasi, menyemarakkan semangat “lebih pantas, lebih tinggi, lebih kuat bersama” di Bukit Jalil.