“KESAMARATAAN dalam ganjaran,”

Itulah harapan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, ketika menyambut baik inisiatif Chery Malaysia memberikan diskaun eksklusif kepada atlet Paralimpik negara.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan agar keistimewaan tersebut diselaraskan sebagaimana atlet normal agar tidak wujud perbezaan dalam menyatakan penghargaan kepada atlet para yang turut mengharumkan negara.

“Untuk atlet para, kita memang berterima kasih dengan usaha seperti ini. Namun, kalau boleh, biarlah kesamarataan diwujudkan. Kita nak semua atlet rasa dihargai, tidak kira status mereka,” katanya.

Menurut beliau, walaupun ada perbezaan dalam jenis ganjaran yang diterima atlet paralimpik dan atlet normal, ianya tetap sumbangan daripada pihak swasta iaitu Chery Malaysia dan beliau mengharapkan langkah sama diambil jenama lain turut memberi sokongan kepada sukan para.

“Atlet para sudah buktikan kemampuan mereka dengan emas yang dibawa pulang. Saya percaya banyak jenama boleh melabur lebih kepada atlet para dan banggakan negara serta jenama mereka,” ujarnya.

Semalam, Flash Sukan melaporkan pemenang pingat emas Paralimpik Paris 2024 seperti Cheah Liek Hou dan Bonnie Bunyau Gustin menerima diskaun 50 peratus untuk pembelian kereta baharu, manakala pemenang perak, Ziyad Zolkefli, mendapat diskaun 30 peratus.

Sebelum ini, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, Lee Zii Jia serta pasangan beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut menerima ganjaran sebuah SUV Chery Tiggo 7 Pro.

Megat Shahriman percaya langkah kesamarataan ini akan menyemarakkan lagi semangat atlet negara tanpa mengira kategori, demi kejayaan sukan Malaysia di pentas dunia.