BERI ruang kepada Lee Zii Jia memilih keputusan terbaik buat dirinya, kata bekas jurulatih pemain nombor dua dunia itu, Hendrawan.
Prihatin nasib dilalui bekas anak didiknya itu, jurulatih perseorangan lelaki Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu berharap, Zii Jia tidak ditekan kerana beliau memahami sukar untuk pemain berusia 25 tahun itu membawa diri sebagai pemain profesional, apa lagi tanpa jurulatih.
“Biarkan Lee Zii Jia memilih apa yang terbaik. Kita beri ruang kepadanya. Apapun yang dia pilih, saya percaya dia sudah memikirkan yang terbaik dan kita tidak perlu menentang keputusan tersebut,” katanya.
Namun, Hendrawan mengharapkan keputusan tersebut dibuat Zii Jia setelah meneliti baik dan buruknya dan bukanlah hanya untuk menimbulkan kontroversi.
“Tetapi proses belajar untuk Zii Jia , dia harus memahami betul-betul, ia bukan keputusan kontroversi,” jelasnya.
Bagaimanapun, Hendrawan memuji karakter Lee Zii Jia yang sangat berpegang teguh kepada prinsipnya dalam membuat keputusan serta percaya pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu akan menjadi semakin matang setelah apa yang dilaluinya.
“Salah satu yang bagus tentang Zii Jia, dia berpendirian tetap. Apa yang dia rasa dia perlu buat dia akan buat. Ada orang yang berfikir sesuatu , mereka akan terlampau banyak berfikir sebelum membuat keputusan. Dengan proses perjalanan seperti ini, saya percaya dia akan lebih matang,” ujarnya.
Dalam aksi pusingan pertama Terbuka Malaysia semalam, Lee Zii Jia tunduk kepada pemain ranking ketujuh dunia, Kodai Naraoka 21-13 17-21 19-21 sekaligus meneruskan episod kegagalannya pada pusingan awal Kejohanan Super 750 dan ke atas.