LIVERPOOL terus mempamerkan prestasi cemerlang dalam Liga Juara-Juara selepas menewaskan Lille 2-1 di Stadium Anfield, awal pagi Rabu.

Kemenangan ini memastikan The Reds menyapu bersih tujuh perlawanan dengan kemenangan, sekali gus kukuh di puncak carta dengan 21 mata dan melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik.

Pengendali pasukan, Arne Slot, membuat beberapa perubahan dalam perlawanan ini. Jurulatih dari Belanda itu merehatkan beberapa pemain utama seperti Trent Alexander-Arnold, Alexis Mac Allister, Cody Gakpo, dan Andy Robertson.

Walaupun bermain tanpa beberapa tonggak utama dari awal perlawanan, Liverpool tetap menunjukkan kehebatan mereka. The Reds berjaya membuka jaringan pada minit ke-34.

Liverpool mendahului 1-0 menerusi gol bintang Mesir, Mohamed Salah, yang menjaringkan gol hasil hantaran Curtis Jones.

Lille, selaku pasukan pelawat, terpaksa bermain dengan 10 pemain pada minit ke-59 selepas pemain pertahanan mereka, Aissa Mandi, dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil.

Meskipun kekurangan pemain, Lille tetap berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi penyerang utama mereka, Jonathan David, yang memecah gawang tuan rumah.

Namun, Liverpool hanya memerlukan lima minit untuk kembali di hadapan. Gol kemenangan Liverpool dijaringkan oleh Harvey Elliott, sekali gus memastikan The Reds menyambar tiga mata penuh.