KEMPEN Liga Malaysia musim 2023 ditutup dengan pelbagai suka dan duka yang mewarnai kemeriahan enam pertandingan yang dianjurkan Malaysia Football League (MFL) yang sekali lagi menyaksikan dominasi penuh Johor Darul Ta’zim (JDT).

Empat daripada enam pertandingan iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Malaysia, Liga Super dimenangi oleh Harimau Selatan manakala Piala MFL menjadi milik Terengganu FC II seta Challenge Cup berjaya dimenangi oleh PDRM FC.

Kualiti liga yang meningkat juga membantu tiga kelab – JDT, Terengganu FC dan Sabah FC beraksi cemerlang di kejohanan kelab Asia sekaligus membantu meningkatkan mata MA ranking Malaysia ke tangga kelima Asia Timur dan ke-11 keseluruhan.

Aksi cemerlang ketiga-tiga kelab ini juga memastikan kelab Malaysia mendapat dua slot automatik – satu slot ke Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) dan satu lagi slot ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) sehingga musim 2025-26.

Artikel Berkaitan: Kecemerlangan tiga pasukan di kejohanan kelab Asia bantu naikkan ranking MA Malaysia 

Kejayaan JDT memenangi kejuaraan Liga Super buat kali kesepuluh berturut-turut, menjaringkan 100 gol dalam semusim termasuk bergelar ‘Double Quadruple’ dan tidak tewas sepanjang dua musim mencipta rekod baharu Liga Malaysia.

Permainan berintensiti tinggi yang diamalkan JDT juga banyak membantu skuad kebangsaan yang turut sama menerapkan corak permainan bola sepak moden selain dibantu pemain-pemain dari kelab lain yang turut menyumbang kepada kecemerlangan Harimau Malaya pada tahun 2023 ini.

Dalam pada itu, musim ini menyaksikan MFL juga buat pertama kali mengumumkan sistem pengagihan pendapatan yang menyaksikan setiap pasukan Liga Super mendapat agihan pendapatan rata sebanyak RM500,000 ditambah agihan merit bermula dari RM600,000 hingga RM1.9 juta hasil hak penyiaran dan komersil.

Namun begitu, disebalik berita baik agihan pendapatan ini, Liga Malaysia tidak dapat lari dari masalah kewangan apabila dilaporkan enam dari 14 kelab yang bertanding mengalami masalah kewangan hingga menjejaskan prestasi dan menimbulkan kemarahan penyokong.

Kelantan, Kelantan United, Kedah Darul Aman, Sabah, Kuala Lumpur City dan Negeri Sembilan didakwa mempunyai masalah tunggakan gaji hingga memaksa beberapa pemain menamatkan kontrak lebih awal demi kelangsungan hidup.

Artikel Berkaitan: FAM denda JDT RM30,000 gara-gara penyokong

Turut menarik perhatian peminat-peminat bola sepak tempatan adalah isu pergaduhan penyokong juga masih terjadi dalam beberapa perlawanan namun ianya tidak membarah dan kehadiran penyokong juga semakin bertambah terutama pada perlawanan sebelah petang yang diperkenalkan MFL musim ini.

Keputusan denda kewangan telah ditentukan oleh FAM kepada beberapa pasukan yang terlibat dengan insiden pergaduhan penyokong dan juga nyalaan suar di dalam stadium yang didapati melanggar klausa keselamatan ditetapkan.

Dalam pada itu, fokus harus diberikan kepada perkara positif yang terhasil musim ini terutama kebangkitan prestasi pemain tempatan dan pemain muda yang diterjemahkan ke skuad kebangsaan baik skuad senior mahupun skuad junior.

Dua nama yang sentiasa menjadi sebutan musim ini, Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim masing-masing berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa dengan aksi cemerlang ketika membantu JDT dan Harimau Malaya di pentas Asia hingga membuka mata pencari bakat-bakat baharu.

Turut mencuri tumpuan dengan kemunculan bek berempat muda tempatan di Terengganu FC juga membuka mata pemerhati bola sepak tempatan yang gembira melihat prospek masa depan skuad negara beraksi cemerlang di peringkat tertinggi secara konsisten setiap minggu.

Selain itu, pemain-pemain import yang dibawa masuk juga semakin berkualiti dengan lebih ramai pemain kebangsaan mewakili kelab-kelab tempatan yang meningkatkan kualiti permainan dan berjaya menarik minat penaja sekaligus meningkatkan nilai komersil liga.

Ayron Del Valle, Bergson Da Silva, Yohandry Orozco, Ivan Mamut dan Ramon Machado adalah antara pemain-pemain import berkualiti yang mempamerkan aksi hebat dalam membantu kelab masing-masing mencapai sasaran yang ditetapkan dan menjadi kesayangan para penyokong.

Selain aksi utama Liga Super, pengenalan Piala MFL juga dilihat satu langkah berani yang dilakukan MFL dengan mewujudkan liga Bawah 23 tahun untuk memastikan pemain-pemain muda mendapat minit permainan sekaligus dapat membantu skuad muda kebangsaan beraksi cemerlang dan layak secara merit ke Piala Asia B23 pada 2024.

Safwan Mazlan, Fergus Tierney, Daryl Sham, T. Saravanan dan Alif Ikmarizal adalah antara pemain muda yang meningkat naik dan dipanggil mewakili skuad utama serta skuad B23 tahun kebangsaan.

Jika dibandingkan dengan musim lalu yang mencatat jumlah penonton seramai 1.5 juta secara keseluruhan, tahun ini lebih 1.8 juta dengan purata lebih 72,000 penyokong dicatat hadir ke semua venue musim ini dengan Stadium Sultan Ibrahim mencatatkan purata kehadiran tertinggi dengan 17,000 penyokong manakala Kelantan United mencatat purata kehadiran terendah dengan hanya 777 orang penyokong sepanjang 13 perlawanan di laman sendiri.

Dalam pada itu, tempoh rehat empat bulan sebelum Liga Malaysia 22024-25 kembali pada awal Mei nanti diharap dapat mengurangkan isu perubahan jadual perlawanan kerana ianya kini mengikuti kalendar antarabangsa Fifa dan AFC yang memudahkan penjadualan agar perjalanan liga tidak terganggu dan menjejaskan momentum sokongan.

Tahniah buat semua pasukan yang bertanding dan syabas buat JDT yang meneruskan dominasi dan diharap kelab lain dapat meningkatkan prestasi dan kualiti seiring kekuatan kewangan bagi mencabar Harimau Selatan dan menambah lagi kualiti Liga Malaysia untuk masa akan datang.