BINTANG sensasi Argentina, Lionel Messi, memberi bayangan mengenai penyertaannya di Piala Dunia 2026 selepas membantu Inter Miami mencatat kemenangan dalam perlawanan persahabatan pertama mereka pada tahun 2025 menentang Club America.

Walaupun usia Messi akan mencecah 39 tahun ketika Piala Dunia 2026 berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico, bintang Inter Miami itu nampaknya tidak menutup kemungkinan untuk terus beraksi mempertahankan kejuaraan La Albiceleste.

Dalam perlawanan persahabatan tersebut, Messi berjaya menjaringkan satu gol dalam keputusan seri 2-2 sebelum pasukannya menang 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti.

Memetik laporan media antarabangsa, ketika ditanya mengenai penyertaan di Piala Dunia 2026, Messi memberi jawapan yang menggembirakan seluruh peminatnya.

“Saya baru memulakan tahun ini, saya mulakan dengan sangat teruja, dengan banyak keinginan.

“Saya harap saya boleh mula rasa lebih baik dan memulakan pramusim dengan baik, menambah minit permainan supaya berada dalam keadaan terbaik apabila perlawanan rasmi bermula,” katanya

Messi juga menekankan fokusnya terhadap musim baru MLS bersama Inter Miami dan cabaran besar di Piala Dunia Kelab 2025 yang dijadualkan berlangsung di Amerika Syarikat pada Jun.

Inter Miami berada dalam Kumpulan A bersama Palmeiras, Porto, dan Al Ahly, di mana Messi berpeluang bertemu gergasi Argentina, Boca Juniors dan River Plate, jika pasukannya mara lebih jauh.

“Kami ada banyak perlawanan sebelum itu, tahun ini penuh dengan banyak perlawanan dan Piala Dunia Kelab akan berlangsung pada bulan Jun.

“Kami berada dalam kumpulan yang sukar, tetapi kami akan berjuang untuknya tetapi fokus utama adalah pada apa yang akan datang dahulu kerana terdapat banyak perlawanan sebelum itu,” kata Messi lagi.

Messi dijangka kembali beraksi bersama Inter Miami pada 30 Januari dalam satu lagi perlawanan persahabatan menentang Universitario.

Dengan semangat tinggi yang ditunjukkan oleh Messi, peminat pastinya menantikan persembahan luar biasa kapten Argentina itu sepanjang tahun 2025.