LIVERPOOL berjaya menundukkan Manchester City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada awal pagi Isnin. Perlawanan ini turut menyaksikan Mohamed Salah memecahkan rekod penting.
Salah menjaringkan satu gol dan mencatat satu bantuan gol (assist) dalam perlawanan menentang Man City. Dengan pencapaian tersebut, Mohamed Salah kini menjadi pemain dengan sumbangan gol terbanyak untuk Liverpool dalam perlawanan menentang Man City.
Sebelum ini, legenda Liverpool, Steven Gerrard, memegang rekod tersebut dengan jumlah keseluruhan 14 gol dan assist. Namun, Salah berjaya memecahkan rekod tersebut dan kini mencatatkan 15 gol serta assist dalam pertembungan Liverpool lawan Man City.
Mohamed Salah membuka jaringan untuk Liverpool pada minit ke-14 hasil hantaran cantik daripada Dominik Szoboszlai.
Tidak lama selepas itu, Salah pula menjadi penyumbang assist untuk Szoboszlai. Hantaran kemas Salah memudahkan Szoboszlai menewaskan Ederson untuk gol kedua Liverpool.
UP THE REDS ✊🔴 #MCILIV pic.twitter.com/UwHfBoO7Eg
— Liverpool FC (@LFC) February 23, 2025
Dari segi prestasi, Mohamed Salah sekali lagi membuktikan keupayaannya untuk kekal konsisten sejak menyertai Liverpool pada 2017. Pada usia 32 tahun, dia telah menjaringkan 29 gol dan mencatat 20 assist dalam 37 perlawanan bersama Liverpool dalam semua pertandingan musim ini.
Liverpool menamatkan perlawanan dengan kemenangan 2-0 ke atas Manchester City. Kejayaan ini menjadikan Liverpool pilihan untuk menjuarai EPL musim ini.
Kini, Liverpool mengumpul 64 mata dan berada di puncak carta liga dengan kelebihan 11 mata berbanding Arsenal yang menghuni tempat kedua.