Liverpool memenangi perlumbaan mendapatkan pertahanan Rennes, Jeremy Jacquet pada hari terakhir jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang agak suram, manakala Crystal Palace menyambar penyerang Wolves, Jorgen Strand Larsen walaupun perpindahan Jean-Philippe Mateta ke AC Milan gagal dimuktamadkan.
The Reds dilaporkan bersetuju dengan yuran sehingga £60 juta (RM323 juta) untuk pemain pertahanan muda berpotensi tinggi itu sebelum jendela ditutup pada jam 1900 GMT.
Namun pemain berusia 20 tahun itu tidak akan menyertai juara EPL sehingga musim panas walaupun Liverpool memerlukan tambahan kekuatan di posisi pertahanan.
Jacquet sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea awal bulan ini, tetapi dilaporkan menolak kerana persaingan sengit di posisi pertahanan tengah dalam skuad The Blues yang sarat pemain.
Liverpool pula kekurangan pilihan pertahanan tengah susulan kecederaan Joe Gomez dan Giovanni Leoni.
Pemain bawah 21 tahun Perancis itu hanya membuat 31 penampilan bersama Rennes, tetapi Liverpool dilaporkan akan membayar £55 juta (RM296 juta) sebagai bayaran awal dengan tambahan £5 juta (RM26.9 juta) bergantung kepada bonus.
Pada hari yang menyaksikan hanya beberapa perpindahan penting, Palace melengkapkan pembelian rekod kelab bernilai £48 juta (RM258 juta) buat penyerang Norway, Strand Larsen menerusi kontrak empat setengah tahun.
Palace bertindak mendapatkan Strand Larsen selepas percaya Mateta akan meninggalkan kelab itu.
Cadangan perpindahan Mateta ke Serie A bagaimanapun gagal semalam selepas kebimbangan perubatan membabitkan kecederaan lutut, namun Palace tetap membawa masuk Strand Larsen.
“AC Milan meminta ujian lanjut di lututnya dan mereka tidak memberikan jaminan diperlukan untuk memuktamadkan perpindahan itu,” kata satu sumber kepada AFP.
“Keputusan sudah dibuat untuk mempercepatkan ketibaannya enam bulan lebih awal. Perpindahan itu kini dibatalkan.”
Kelab tercorot liga, Wolves menandatangani penyerang Southampton, Adam Armstrong dengan nilai £7 juta (RM37.7 juta) bagi menggantikan Strand Larsen.
Everton pula mendapatkan pemain sayap Chelsea berusia 19 tahun, Tyrique George secara pinjaman hingga akhir musim dengan pilihan menjadikannya perpindahan kekal pada hujung musim.
Chelsea memanggil semula Mamadou Sarr daripada tempoh pinjaman di Strasbourg untuk disatukan kembali dengan pengendali The Blues, Liam Rosenior yang pernah melatihnya di kelab Perancis itu awal musim ini. – AFP