KETIADAAN jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memberi situasi ‘kurang perisa’ kepada skuad negara yang bakal menggalas cabaran di Piala Sudirman 2025, biarpun dibarisi barisan beregu yang cukup mantap.
Perseorangan profesional itu tidak tersenarai ke Xiamen, China hujung bulan ini selepas masih belum pulih sepenuhnya dari kecederaan buku lali yang dialaminya ketika Jelajah Dunia Akhir BWF, Disember lalu.
Pemain beregu campuran profesional, Goh Soon Huat mengakui ketiadaan Zii Jia sedikit sebanyak dirasai, memandangkan beliau antara sandaran utama dalam pungutan mata perseorangan.
“Memang kita kurang Zii Jia, tapi ini pasukan – menang atau kalah kita tetap satu. Kami semua akan cuba menyokong dan menampung kekurangan itu dengan semangat sepasukan,” katanya, ditemui selepas sesi latihan pertama kem pusat di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Jepun, Perancis dan Australia – dan ketiadaan Zii Jia meletakkan tanggungjawab besar di bahu dua pemain muda, Leong Jun Hao dan Justin Hoh yang bakal mengisi slot perseorangan lelaki.
“Semua bergantung kepada strategi jurulatih. Kami akan akur dan bersedia dengan sebarang percaturan, termasuk kemungkinan berlaku pertukaran pasangan dalam acara beregu campuran mengikut keperluan taktikal,” ujar Soon Huat, yang akan bergandingan bersama Shevon Lai Jemie.
Skuad negara kali ini menampilkan barisan beregu lelaki yang dianggap antara terkuat, termasuk juara Asia baharu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; serta dua lagi pasangan mantap, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Selain itu, gandingan beregu wanita utama Pearly Tan-M Thinaah dijangka terus menjadi tunjang, manakala pasangan muda Go Pei Kee-Carmen Ting turut diberi peluang.
Dalam beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin serta Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melengkapkan senarai.
Piala Sudirman 2025 berlangsung dari 27 April hingga 4 Mei di Xiamen, China.