Manchester City terus mengekori rapat pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Leeds United di Elland Road, awal pagi tadi.
Gol tunggal menerusi Antoine Semenyo pada masa kecederaan babak pertama sudah cukup untuk memastikan tiga mata berharga buat skuad kendalian Pep Guardiola itu.
Keputusan berkenaan menyaksikan City kini mengumpul 59 mata selepas 28 perlawanan, hanya dua mata di belakang Arsenal yang turut mengharungi jumlah aksi sama dan dijadual menerima kunjungan Chelsea, malam ini.
Walaupun turun tanpa penjaring terbanyak liga, Erling Haaland yang diketepikan akibat kecederaan ringan ketika latihan, City tetap berjaya mengharungi tekanan sengit tuan rumah.
Leeds terlebih dahulu mencipta beberapa peluang terbaik pada separuh masa pertama, termasuk dua percubaan daripada Dominic Calvert-Lewin, namun gagal memecah kebuntuan.
Ketika perlawanan tampak bakal berakhir tanpa jaringan pada babak pertama, City memanfaatkan peluang terhidang.
Rayan Ait-Nouri yang melakukan larian di sebelah kiri kotak penalti melorongkan bola lintang rendah sebelum Semenyo meluru masuk untuk menolak masuk dari jarak dekat.
Jaringan itu adalah gol keenam Semenyo bersama City musim ini.
City yang kini menghuni tangga kedua liga mencatat kemenangan kelima dalam enam aksi terakhir EPL, sekali gus terus memberi tekanan kepada Arsenal dalam perlumbaan kejuaraan yang semakin sengit.
Sementara itu, pengendali Leeds, Daniel Farke, dilayangkan kad merah sejurus wisel penamat selepas menghampiri pengadil dipercayai bagi membantah beberapa keputusan sepanjang perlawanan. – REUTERS