MANCHESTER City kini berdepan cabaran besar untuk mengelak penyingkiran memalukan dari Liga Juara-Juara Eropah selepas tewas 4-2 di tangan Paris Saint-Germain (PSG) di Parc des Princes, awal pagi Khamis.
Skuad kendalian Pep Guardiola hanya mampu menyalahkan diri sendiri selepas sekali lagi gagal mempertahankan kelebihan, menjadikannya kali ketiga dalam empat perlawanan Eropah musim ini mereka berdepan situasi sama.
Kekalahan ini menyaksikan juara bertahan musim 2022 terkeluar daripada kedudukan 24 terbaik, dengan hanya berbaki satu perlawanan peringkat kumpulan.
City kini berada dalam situasi ‘mesti’ menang apabila menentang Club Brugge di Etihad Stadium minggu depan, jika mahu merebut peluang mara ke pusingan play-off dan seterusnya ke pusingan 16 terbaik.
Kekalahan di Paris menonjolkan musim yang penuh cabaran buat Guardiola dan anak buahnya.
Ketidakmampuan mereka untuk mempertahankan kelebihan mencerminkan jurang besar yang perlu diperbaiki sekiranya ingin terus bersaing di peringkat tertinggi Eropah.
Kini, Manchester City tiada pilihan selain mencipta kemenangan ke atas Club Brugge untuk memastikan peluang mereka mara ke peringkat seterusnya kekal terbuka.
Namun, dengan prestasi yang tidak konsisten, masa depan mereka di Liga Juara-Juara Eropah tampak semakin gelap.