SELEPAS lebih sedekad penantian, kelab bola sepak ikonik England, Manchester United akhirnya bakal kembali ke bumi Malaysia apabila dijadual menentang ASEAN All-Stars dalam aksi eksklusif Maybank Challenge Cup di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei 2025, jam 8.45 malam.

Aksi yang dijangka menggegarkan arena bola sepak rantau ini akan menjadi penampilan sulung skuad The Red Devils di Malaysia sejak kunjungan terakhir mereka pada tahun 2009.

Kali ini, mereka bakal turun dengan barisan penuh bintang dunia termasuk Bruno Fernandes, Alejandro Garnacho, Casemiro, Matthijs de Ligt, Rasmus Højlund, Amad Diallo dan ramai lagi.

Pemain-pemain bintang United seperti Bruno Fernandes, Alejandro Garnacho, Casemiro, Matthijs de Ligt, Rasmus Højlund, Amad Diallo akan menentang beraksi ASEAN All-Stars.

Perlawanan berstatus blockbuster itu dianjurkan oleh ProEvents dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) dan dijangka menarik ribuan peminat dari seluruh rantau ini termasuk Jepun, Korea Selatan, India dan China.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents, Julian Kam, perlawanan ini merupakan satu pencapaian luar biasa yang bukan sahaja mempertemukan kelab legenda dunia dengan pasukan gabungan Asia Tenggara, tetapi juga meraikan keunikan hubungan erat antara penyokong ASEAN dan Manchester United.

“Hubungan United dengan peminat di rantau ini amat istimewa. Ini bukan sekadar perlawanan, tetapi sambutan perpaduan bola sepak,” katanya.

Maybank Challenge Cup di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei 2025, jam 8.45 malam.

ASEAN All-Stars, skuad khas yang bakal dihimpunkan daripada pemain terbaik Asia Tenggara, juga tidak mahu menjadi sekadar pelengkap jadual. Mereka akan turun sebagai wakil kebanggaan rantau ini untuk menentang salah satu pasukan paling berjaya dalam sejarah bola sepak dunia.

Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth, menyifatkan perlawanan itu sebagai platform yang menunjukkan keyakinan, kerja keras dan inspirasi buat generasi muda.

“Bagi pemain muda yang menyaksikan, ini bukti bahawa impian boleh jadi nyata jika anda berusaha dan percaya,” katanya.

Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth

Sementara itu, Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub, menyifatkan perlawanan ini sebagai detik yang sangat bermakna buat bola sepak Malaysia yang turut mengukuhkan peranan negara sebagai tuan rumah sukan bertaraf antarabangsa menjelang kepengerusian ASEAN pada 2025.

Sebagai penaja utama, Maybank turut memainkan peranan penting dalam membawa semula Manchester United ke Malaysia melalui hubungan strategik mereka yang sudah bertahun bersama kelab tersebut.

“Perlawanan ini lebih daripada sekadar bola sepak – ia adalah simbol perpaduan dan pengalaman istimewa untuk pelanggan dan penyokong kami,” ujar Dato’ Khairussaleh Ramli, Presiden dan CEO Kumpulan Maybank.

Maybank turut menawarkan akses awal pembelian tiket kepada pemegang kad mereka melalui pra-jualan eksklusif.

Tiket rasmi akan mula dijual kepada umum melalui Ticket Empire bermula 15 April 2025 jam 11 pagi, dengan harga bermula dari RM50 hingga RM1,500, merangkumi pelbagai kategori termasuk kawasan premium dan tempat duduk eksklusif.

Perlawanan ini juga dijangka membawa impak besar kepada pelancongan sukan negara dan menarik liputan media antarabangsa, sekaligus memperkukuh status Malaysia sebagai destinasi acara sukan berkelas dunia.

Info Perlawanan:

Tarikh: 28 Mei 2025 (Selasa)

Venue: Stadium Nasional Bukit Jalil

Masa: 8.45 malam

Perlawanan: Manchester United vs ASEAN All-Stars

Harga Tiket: RM50, RM100, RM250, RM380, RM580, RM780, RM1,500

Beli Tiket: Ticket Empire

Jualan Awam: Bermula 15 April, 11 pagi