PENGURUS Manchester United, Ruben Amorim, dengan tegas menyatakan sasaran pasukannya untuk meraih kejayaan dalam kempen Piala FA 2024/2025.

Amorim bertekad membawa The Red Devils menjadi juara dalam salah satu kejohanan bola sepak paling berprestij ini.

Musim ini, Manchester United berada dalam prestasi yang kurang memberangsangkan sejak Ruben Amorim mengambil alih jawatan sebagai pengurus.

Beberapa keputusan negatif telah menjejaskan momentum pasukan, namun Amorim yakin Piala FA adalah peluang terbaik untuk mengembalikan keyakinan dan maruah kelab.

Piala FA peluang terbaik kelab Old Trafford itu menjulang kejuaraan musim ini. Foto – EPL

Dalam sidang media menjelang perlawanan pusingan ketiga Piala FA malam esok, Amorim menjelaskan kepentingan kejohanan ini bagi Manchester United.

“Piala FA adalah kejohanan yang bersejarah dan penuh prestij. Saya secara peribadi masih mengingati beberapa perlawanan akhir yang ikonik, terutama ketika kelab ini memenangi treble,” kata Amorim.

Pengurus kelahiran Portugal itu juga tidak akan memandang rendah kejohanan ini. Manchester United akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk melangkah sejauh mungkin dan menjulang trofi di penghujung musim.

“Kami tahu setiap pusingan akan menjadi cabaran besar, tetapi kami ingin memenangi setiap perlawanan dan meneruskan momentum positif,” tambah Amorim.

Manchester United diundi menentang Arsenal, pasukan yang dianggap paling berjaya dalam sejarah Piala FA. Pertemuan ini akan berlangsung di Emirates Stadium, memberikan ujian getir kepada skuad Amorim.

Arsenal kini berada dalam prestasi yang baik, tetapi Amorim percaya pasukannya mampu bangkit dan memberikan saingan sengit. Beliau mengarahkan Lisandro Martinez dan rakan sepasukannya untuk kekal fokus dan memberikan segala-galanya demi kemenangan.

“Kami sedar perlawanan ini sukar, tetapi kami bersedia memberikan yang terbaik. Saya yakin dengan kerja keras dan komitmen semua pemain, kami boleh melangkah ke peringkat seterusnya,” katanya.

Kini, tekanan berada di bahu Ruben Amorim untuk membuktikan kemampuannya sebagai pengurus kelab. Kemenangan ke atas Arsenal bukan sahaja penting untuk meneruskan perjalanan di Piala FA, tetapi juga untuk mengembalikan keyakinan para penyokong yang setia menyokong pasukan ini.

Sama ada Manchester United mampu mengatasi cabaran besar ini akan menjadi perhatian seluruh peminat bola sepak. Piala FA kini menjadi simbol harapan Amorim untuk mengukir sejarah baharu bersama United.