PENYERANG Arsenal, Gabriel Martinelli dikecam sebagai “memalukan” selepas cuba menolak pemain Liverpool, Conor Bradley yang cedera keluar dari padang pada hujung perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri 0-0, awal pagi tadi.

Bradley terjatuh dalam keadaan janggal berhampiran garisan tepi ketika masa kecederaan dan Martinelli dipercayai menganggap pemain itu melengah-lengahkan permainan, sebelum membaling bola ke arahnya dan menarik badannya.

Pemain Liverpool bertindak balas dengan marah dan susulan kekecohan yang tercetus, Martinelli serta Ibrahima Konate masing-masing dilayangkan kad kuning.

Pemain pertahanan kanan Ireland Utara itu akhirnya dikeluarkan menggunakan pengusung dalam keadaan jelas kesakitan.

Penganalisis Sky Sports, Gary Neville berkata tindakan Martinelli membuatkannya berang.

“Anda tidak boleh berbuat demikian. Ia sangat teruk. Saya fikir satu permohonan maaf diperlukan,” kata bekas pertahanan Manchester United itu.

“Bradley dikeluarkan menggunakan pengusung. Saya benar-benar marah dengan Martinelli. Memalukan. Saya terkejut tiada pemain Liverpool pergi dan menumbuk Martinelli ketika itu.”

Seorang lagi penganalisis, Roy Keane turut mengkritik penyerang Brazil itu.

“Saya tidak suka perkara itu. Ia pernah berlaku kepada saya ketika cedera teruk dan ada pemain berdiri di atas saya, ia tidak elok. Saya terkejut pemain Liverpool tidak bertindak lebih keras terhadap Martinelli. Tingkah laku itu sangat memalukan. Adegan yang tidak baik,” katanya.

Pengurus Liverpool, Arne Slot berkata beliau “paling bimbang” dengan kecederaan Bradley, namun memilih pendekatan lebih terkawal terhadap isu membabitkan Martinelli.

“Saya 100 peratus pasti jika dia tahu tahap kecederaan itu, dia tidak akan melakukannya,” kata beliau. “Tetapi ia tidak kelihatan baik jika Bradley mengalami kecederaan seperti yang kami jangkakan.

“Tiada siapa suka melihat pemain digerakkan jika dia mungkin cedera.”

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta pula menegaskan Martinelli tidak akan bertindak sedemikian jika menyedari Bradley benar-benar cedera.

“Mungkin dia tidak tahu kerana mengenali Gabi, langsung tiada niat,” kata jurulatih warga Sepanyol itu.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada Conor dan harap ia tidak serius, tetapi jelas tiada niat daripada Gabi untuk mencederakannya.” – REUTERS