MASA depan Neymar bersama Al-Hilal kini kelihatan semakin suram selepas pengurus kelab tersebut, Jorge Jesus, membuat kenyataan mengejutkan mengenai bintang Brazil itu, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai perpindahannya ke Major League Soccer (MLS).

Memetik laporan media antarabangsa, dalam satu sidang media selepas kemenangan besar 9-0 Al-Hilal ke atas Al-Fateh pada Khamis, Jorge Jesus mengesahkan bahawa Neymar tidak akan didaftarkan untuk separuh kedua musim Liga Pro Saudi.

Bagaimanapun, pemain berusia 32 tahun itu masih boleh beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia.

“Neymar tidak akan didaftarkan dalam pasukan untuk kejohanan ini, dia boleh mengambil bahagian dalam Liga Juara-Juara Asia.

“Liga Saudi kini adalah salah satu liga terbaik di dunia, dan semua pemain Al-Hilal layak bermain untuk mana-mana kelab di Eropah.

“Neymar tidak lagi mampu bermain pada tahap yang biasa kita lihat dan perkara ini telah menjadi sukar untuknya,” kata Jorge Jesus.

Kecederaan yang dialaminya ketika mewakili Brazil dalam kelayakan Piala Dunia pada Oktober 2023 menjadi titik permulaan kerjayaanya terbatas di Al-Hilal

Tambahnya lagi, masa depan Neymar di kelab itu bergantung kepada keputusan pihak pengurusan sepenuhnya.

“Dia masih mempunyai kontrak bersama Al-Hilal, dan mungkin terpulang kepadanya untuk menentukan masa depannya.

“Jadi kita ada satu tempat kosong dalam senarai pemain, tetapi ia dikhaskan untuk pemain yang lahir pada tahun 2003 atau selepasnya,” tambahnya.

Neymar, yang menyertai Al-Hilal dari Paris Saint Germain pada Ogos 2023 dengan nilai RM444 juta, telah mengalami perjalanan sukar sejak tiba di Timur Tengah.

Kecederaan yang dialaminya ketika mewakili Brazil dalam kelayakan Piala Dunia pada Oktober 2023 membatasinya kepada hanya tujuh penampilan dan satu gol bersama Al-Hilal.

Meskipun kontraknya mempunyai pilihan lanjutan selama 12 bulan, kebarangkalian Neymar untuk meninggalkan Al-Hilal pada musim panas ini semakin tinggi selepas prestasi yang dianggap tidak memberangsangkan.

Jika Al-Hilal mara ke final Liga Juara-Juara Asia, Neymar berpeluang untuk bermain maksimum tujuh lagi perlawanan sebelum tirai kerjayanya di Timur Tengah berakhir.

Aksi pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia dijangka berlangsung pada Februari, dan semua peminat bola sepak kini tertumpu pada perkembangan seterusnya buat Neymar.